Kongres India ganggu sesi parlimen

Kongres India ganggu sesi parlimen

NEW DELHI, 9 Dis – Parti Kongres yang merupakan pembangkang utama India semalam mengganggu sesi parlimen dan menuduh kerajaan mencari “perseteruan” terhadap keluarga Gandhi dalam tamparan hebat kepada harapan meluluskan reformasi penting cukai.

Kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi mahu memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) untuk menggantikan senarai panjang levi kerajaan, dalam usaha untuk menambah pelaburan dengan memudahkan lagi perniagaan di pasaran besar dalam India.

Bagaimanapun Modi perlukan bantuan pembangkang untuk meluluskan reformasi dalam dewan tertinggi parlimen, yang mana partinya tidak mempunyai majoriti. Harapan dibangkitkan supaya perundangan yang lama tertangguh diluluskan tahun ini selepas Modi mengadakan pertemuan dengan presiden Kongres, Sonia Gandhi bulan lalu dan kedua-dua parti menunjukkan tanda kesepakatan.

Tetapi kedua-dua belah pihak bertelagah lagi semalam selepas hakim memerintahkan Gandhi dan anak lelakinya Rahul muncul di mahkamah dalam kes yang dikemukakan oleh anggota terkenal parti Modi, Parti Bhartiya Janata.

Semalam anggota-anggota Kongres yang berang memenuhi ruang parlimen dan menjerit ke arah speaker, memaksanya menangguhkan sesi itu. Modi mengambil langkah melemahkan legasi dinasti Gandhi sejak menyingkirkan mereka dari berkuasa tahun lalu.

Naib Presiden Parti Kongres, Rahul Gandhi (tengah) tatkala bercakap kepada media di luar bangunan parlimen di New Delhi, India pada 9 Disember 2015. – Agensi
Naib Presiden Parti Kongres, Rahul Gandhi (tengah) tatkala bercakap kepada media di luar bangunan parlimen di New Delhi, India pada 9 Disember 2015. – Agensi

“Saya tidak takut kepada sesiapa pun,” Sonia Gandhi memberitahu para wartawan dalam parlimen.

Parlimen ditangguhkan sehingga hari ini ekoran bantahan itu, tetapi para pekerja Kongres membawa bantahan mereka ke jalan raya, termasuklah melaungkan slogan-slogan di bumbung bas.

“Rang undang-undang GST sedang dibincangkan,” Anand Sharma, timbalan ketua parti Kongres di dewan tertinggi, memberitahu para pemberita. Sharma kemudian memberitahu Reuters bantahan terhadap kes mahkamah seharusnya tidak dikaitkan dengan laluan GST, tetapi berkata rang undang-undang sedang dijalankan yang tidak dapat dicepatkan.

Seorang ketua kanan Kongres berkata gangguan dalam parlimen akan berterusan, tetapi tidak menyatakan berapa lama.

Dinasti Nehru-Gandhi memerintah India bagi kebanyakan tempoh era selepas kemerdekaan selepas 1947 dan membantu membentuk institusi negara. Pengkritik-pengkritik yang termasuklah Modi, menuduh keluarga menahan pembangunan ekonomi dengan dasar sosialis.

Kes itu, yang dikemukakan oleh anggota BJP Subramanian Swamy, mengatakan keluarga Gandhi telah menggunakan dana parti AS$13.5 juta untuk membayar hutang perniagaan surat khabar. Bagaimanapun keluarga Gandhi menafikan salah laku. – Reuters