Kongsi bahasa dan budaya Jepun

Kongsi bahasa dan budaya Jepun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Persahabatan dan kefahaman di antara rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan Jepun akan terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang bahasa dan kebudayaan menerusi penganjuran bersama Minggu Bahasa dan Budaya Jepun di The Times Square, Berakas bermula 18 hingga 20 Mac nanti.

Pameran anjuran Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, The Times Square, Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Institute of Brunei Technical Education Continuing Education and Training Division (IBTE-CET), Kementerian Pendidikan, Program Kapal Belia Jepun dan Asia Tenggara (SSYEAP) dan Alumni SSYEAP (BERSATU) itu nanti dipercayai akan memberikan peluang kepada orang ramai untuk menyelami serta memahami budaya dan bahasa unik masyarakat Jepun, jelas Setiausaha Kedua, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Yuki Iida dalam sidang media mengenai Minggu Bahasa dan Budaya Jepun yang berlangsung di The Times Square, Berakas, hari ini.

Menurutnya lagi, pameran itu nanti bukan sahaja akan mengetengahkan budaya tradisional dan moden Jepun tetapi juga maklumat mengenai pendidikan di Jepun serta program-program pertukaran belia yang disokong oleh kerajaan Jepun.

Pameran itu nanti juga bermatlamat mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara Brunei dan Jepun serta pada masa yang sama mempromosikan Bahasa Jepun dan peluang-peluang untuk melanjutkan pengajian di Jepun.

Semasa pameran itu, jelas Yuki Iida lagi, para pengunjung akan berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi dan gerai pameran bagi Manga iaitu seni lukis kartun Jepun, Ikebana iaitu seni gubahan bunga Jepun, pertunjukan masakan Jepun, kaligrafi, origami iaitu seni lipatan kertas Jepun, Yukata iaitu kimono musim panas Jepun, pertunjukan seni mempertahankan diri Jepun, tarian dan lagu serta kuiz.

Yuki Iida memberikan penerangan mengenai pelbagai kegiatan dan pertunjukan yang akan diadakan sepanjang Minggu Bahasa dan Budaya Jepun.
Yuki Iida memberikan penerangan mengenai pelbagai kegiatan dan pertunjukan yang akan diadakan sepanjang Minggu Bahasa dan Budaya Jepun.

Semasa minggu bahasa dan budaya itu, artis Manga Jepun, Manaru Tenkawa yang juga merupakan seorang pensyarah seni komik dari Nihon Computer Institute akan membuat demonstrasi khas lukisan manga.

Di samping itu, beliau juga akan mengadakan bengkel seni Manga selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Mac di mana bagi setiap bengkel, seramai 30 orang peserta akan berpeluang untuk mempelajari teknik melukis Manga.

Manakala itu, demonstrasi Ikebana juga akan dipamerkan oleh guru Ikebana, Risho Saito di mana beliau akan menunjukkan teknik dan seni gubahan bunga yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung ke pameran itu pada 2015.

Pameran 2016 ini memberikan tumpuan kepada mempromosikan Bahasa Jepun di mana para peserta pameran itu nanti akan mengongsi pengalaman mereka belajar di Jepun dan juga akan memperkenalkan pelbagai kegiatan yang dijalankan oleh kelab-kelab Jepun di Universiti Brunei Darussalam.

Bagi menyerikan lagi acara itu, pertandingan kaligrafi menggunakan teknik Hiragana juga akan diadakan di mana para peserta berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama pertandingan berupa kamera digital Canon, IXUS 255 HS.

Sehubungan itu, pihak penganjur amat mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan menyerikan lagi pameran selama tiga hari itu nanti di mana bukan sahaja mereka berpeluang untuk mengenali dan menyaksikan pameran serta pertunjukan budaya Jepun tetapi mereka juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.

ARTIKEL YANG SAMA