Kongsi buku dan minat membaca bersama masyarakat

Kongsi buku dan minat membaca bersama masyarakat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Membaca boleh membuka minda seseorang untuk menerokai dunia yang baru atau mendapatkan maklumat yang berguna dalam hidup mereka.

Oleh itu, sebagai usaha berterusan untuk menanam minat suka membaca dan bagi sama-sama meraikan Hari Buku Sedunia, Bruneians:Read (B:Read) dan HeartWrite Co bersama-sama dengan The Energy Kitchen mengadakan acara kebajikan iaitu sumbang dan ambil buku selama sebulan di The Energy Kitchen, Kiulap.

Bagi acara sumbang dan ambil buku itu, sebanyak 585 buah buku pelbagai tajuk telah berjaya dikumpulkan di mana sebilangan besar buku itu adalah dalam Bahasa Inggeris dan terdapat juga buku-buku novel Bahasa Melayu dan Cina.

Menerusi acara itu, ia diharap dapat menanam minat dan menggalakkan orang ramai untuk berkongsi buku di antara satu sama yang lain serta untuk memberikan peluang kepada mereka yang mungkin tidak berkemampuan untuk membaca buku.

Menurut Penganjur Bersama Hari Buku Sedunia Brunei 2016, Flo, hampir kesemua buku yang disumbangkan adalah dalam keadaan yang baik dan beliau amat gembira dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai kepada acara itu.

Wu Chun bergambar ramai bersama para penganjur acara kebajikan dengan buku-buku yang dikumpulkan di The Energy Kitchen.
Wu Chun bergambar ramai bersama para penganjur acara kebajikan dengan buku-buku yang dikumpulkan di The Energy Kitchen.
Buku-buku yang disumbangkan bagi acara Sumbang dan Ambil yang diadakan bersempena Hari Buku Sedunia.
Buku-buku yang disumbangkan bagi acara Sumbang dan Ambil yang diadakan bersempena Hari Buku Sedunia.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua penderma yang berbesar hati untuk tampil ke hadapan dan bersedia untuk mengongsi buku-buku dan minat membaca mereka dengan masyarakat.

Perasaan penghargaan itu turut dinyatakan oleh Wu Chun yang turut menyatakan bahawa salah satu impiannya adalah untuk membuka sebuah kedai buku dan berkongsi minatnya membaca dengan orang ramai.

Melalui acara itu, orang ramai boleh memilih dan membawa balik mana-mana buku sehingga lima buah buku setiap seorang dari The Energy Kitchen, Kiulap bermula sekarang sehingga 24 April.

Di samping itu, bersempena dengan acara selama sebulan itu, B:Read akan mengadakan Perjumpaan Buku pada 22 April di mana para pembaca buku boleh bertemu untuk membaca dan membincangkan buku-buku yang dibaca mereka itu.

Manakala itu, HeartWrite Co pula akan mengadakan dua sesi Writers’ Jam pada 23 dan 24 April nanti yang akan membolehkan para penulis untuk sama-sama berkongsi pengetahuan, membangunkan dan menerokai pelbagai kemahiran menulis. Kedua-dua acara samping itu akan diadakan di The Energy Kitchen.

ARTIKEL YANG SAMA