Kongsi cara membelai kucing

Kongsi cara membelai kucing

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 April – Penjagaan kucing pada masa ini semakin diminati orang ramai terutama jenis atau baka kucing yang berlainan dengan kucing tempatan, namun untuk menjaga kucing baka lain, ia memerlukan penjagaan yang rapi terutama dari segi kesihatan dan penjagaan bulu.

Salah seorang peminat kucing, Dayang Nur Khaliesah Bazilah binti Haji Mohd Salleh ketika ditemui pada Pameran Kucing semasa Sukan Ria Hari Keluarga Jabatan Penjara di Dewan Pusat Latihan Penjara, Maraburong, kelmarin, menjelaskan perbezaan bagaimana menjaga kucing yang berlainan jenis.

Menurutnya, jika kucing mempunyai bulu yang kembang, mereka mesti dibersihkan selalu, dimandikan dan bulunya perlu disikat atau di’grooming’ supaya bulunya kelihatan rapi dan tidak kusut.

Manakala itu, bagi kucing jenis Exotic Short Hair pula, bahagian matanya perlu sentiasa dibersihkan agar mereka terhindar daripada sakit mata dan dikhuatiri akan mudah terjangkit kepada kucing lain.

Jelas beliau lagi, penjagaan kucing yang paling sukar adalah apabila mendapati kucing mereka sakit kerana ia boleh menelan perbelanjaan menjangkau $1,000 terutama dari segi pembelian ubat dan rawatan kucing ke klinik haiwan.

Dayang Nur Khaliesah Bazilah bersama kucingnya bernama Mag, jenis kucing Persian berusia 10 tahun.
Dayang Nur Khaliesah Bazilah bersama kucingnya bernama Mag, jenis kucing Persian berusia 10 tahun.
Dayang Siti Nooriah, penganjur Pameran Kucing dengan kucing kesayangannya.
Dayang Siti Nooriah, penganjur Pameran Kucing dengan kucing kesayangannya.

Jika kucing sakit, mereka akan memberikan ubat yang boleh diperolehi dari klinik-klinik haiwan atau kedai khas haiwan, dan jika beberapa hari kucing masih lagi sakit, barulah mereka membawanya ke klinik haiwan untuk berjumpa doktor.

Pada masa ini, Dayang Nur Khaliesah Bazilah mempunyai 61 ekor kucing termasuklah tujuh jenis baka kucing iaitu kucing Norweigan Forest, Exotic Short Hair, Exotic Long Hair, Persian, Domestic Long Hair dan Domestic Short Hair.

Beliau yang meminati kucing sejak kecil lagi, dan mula menjaga kucing semasa menuntut di Pusat Tingkatan Enam iaitu kira-kira enam tahun lalu, menasihati kepada peminat kucing atau yang ingin memelihara kucing agar cuba memelihara kucing tempatan (biasa) dahulu sebelum menjaga kucing jenis baka lain.

Antara kucing yang dipamerkan bagi memeriahkan lagi sambutan Sukan Ria Hari Keluarga Jabatan Penjara yang berlangsung di Dewan Pusat Latihan Penjara, Maraburong, kelmarin.
Antara kucing yang dipamerkan bagi memeriahkan lagi sambutan Sukan Ria Hari Keluarga Jabatan Penjara yang berlangsung di Dewan Pusat Latihan Penjara, Maraburong, kelmarin.

Ini kerana, untuk memelihara kucing perlu mempunyai pengetahuan menjaga kucing dan memberikan penjagaan rapi terutama dari segi makanan dan menyediakan tempat keperluan mereka.

Dayang Nur Khaliesah bergiat aktif mengikuti pameran Kucing dan kelmarin beliau telah membawa 13 ekor kucing mengikuti pameran kucing bagi memeriahkan lagi sambutan Sukan Ria Hari Keluarga Jabatan Penjara berkenaan.

Manakala itu, penganjur Pameran Kucing, Dayang Siti Nooriah Haji Mohd Buhari dari Syarikat Mulya Sarah Sahnisa Enterprise menjelaskan, tujuan mengadakan pameran berkenaan adalah untuk memberikan maklumat dan berkongsi sama pengetahuan mengenai penjagaan kucing di samping dapat memeriahkan lagi suasana acara yang dijalankan dan dapat mengasah bakat mereka dalam penjagaan kucing.

Beliau menasihati kepada mereka yang mempunyai kucing agar menjaga kucing dengan baik sebagaimana mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W bahawa Baginda juga sukakan kucing.

ARTIKEL YANG SAMA