Kongsi cara membuat kek

Kongsi cara membuat kek

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 11 Okt – Dengan hasrat untuk menambahkan lagi pengetahuan dan kemahiran pelajar-pelajar berkeperluan khas Pra Vokasional, Sekolah Menengah Perdana Wazir telah mengadakan sesi kongsi sama membuat kek yang diadakan di bilik ILSC sekolah tersebut, di sini.

Sebagai pemudah cara sesi tersebut, sekolah berkenaan telah mengundang Dayang Kartika Ain binti Haji Ibrahim untuk menunjukkan cara membuat kek cawan dan juga gula-gula yang dikenali sebagai Apam Coklat.

Semasa sesi demonstrasi tersebut, pelajar-pelajar berkenaan telah turut ditunjukkan cara-cara mengadun resipi kek dan gula-gula dengan sukatan yang betul, selain berpeluang melakukan sendiri cara membuatnya.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Pra Vokasional sekolah tersebut, Hajah Jamilah binti Haji Sulaiman, program itu turut bertujuan untuk mendedahkan kemahiran menghasilkan kuih-muih, kepada pelajar berkenaan serta yang berminat dalam bidang itu.

Pelajar ditunjukkan cara membuat kek dan gula-gula selain turut berpeluang mencuba membuatnya sendiri.
Pelajar ditunjukkan cara membuat kek dan gula-gula selain turut berpeluang mencuba membuatnya sendiri.

“Ia adalah sebahagian daripada aktiviti yang mendapat kerjasama daripada pihak pengusaha kek tempatan yang bersedia mengongsi kemahiran mereka kepada para pelajar dan juga ibu bapa yang turut terlibat,” katanya.

Melalui program tersebut, ia dihasratkan memberikan kebolehan kepada pesertanya dalam membuat kek dan roti yang mungkin akan dapat dijadikan sebagai mata pencarian sampingan pada masa depan.

Hajah Jamilah juga memberitahu, sesi kongsi sama itu merupakan aktiviti pertama bagi tahun ini, dan ia dijangka akan diadakan lagi dalam masa terdekat dengan demonstrasi pembuatan lain.

ARTIKEL YANG SAMA