Kongsi idea, kerjasama dalam pelancongan

Kongsi idea, kerjasama dalam pelancongan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan ‘Conversations’ iaitu program diplomasi awam terbarunya yang bertujuan bagi meningkatkan persefahaman antara rakyat AS dan Brunei melalui dialog dan pertukaran idea.

Acara yang diadakan di Kampung Bakut, Kampong Ayer itu menampilkan warga AS dan Brunei yang berkongsi perspektif jelas mengenai topik-topik berkepentingan bersama.

Terlebih dahulu, Pengarah Pengurusan Sunshine Borneo Tours & Travel Sdn Bhd, Anthony Chieng Hock Kiet yang telah menyertai Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP) mengenai Perkembangan Pelancongan dan Ekonomi, telah mengongsi pengalaman dan pengajaran yang diperolehinya di AS.

Beliau yang menyertai program berkenaan selama tiga minggu, dari 9 Mei hingga 27 Mei lalu, telah menekankan mengenai perkongsian dan menghilangkan rasa takut dalam mempunyai rakan kongsi, suatu yang menurutnya paling penting yang diperolehinya di AS. Menurut beliau, perkongsian adalah kurang di Brunei oleh kerana perasaan takut dan juga persaingan.

“Akan tetapi di AS, perkongsian adalah bagaimana segala-galanya menjadi sangat berjaya, kerana semua orang di sana mahu untuk bekerjasama. Ia bukan hanya bagi sektor swasta saja, malahan juga sektor kerajaan, sektor swasta serta sektor awam, jelas saya nampak kesanggupan dalam kalangan mereka.”

Anthony ketika mengongsi pengalamannya berada di Amerika Syarikat bagi IVLP.
Anthony ketika mengongsi pengalamannya berada di Amerika Syarikat bagi IVLP.

Menyentuh mengenai pelancongan, Anthony membangkitkan idea membangunkan kerjasama yang lebih padu antara sektor awam dan swasta dalam menggalakkan industri pelancongan Brunei.

Antara yang dijelaskannya adalah, mengenai pakar pelancongan di mana kita memerlukan ramai pakar dalam menjelaskan budaya dan sejarah Brunei untuk menjadikannya menarik untuk didengar oleh para pelancong. Beliau mengambil contoh ketika beliau berada di AS di mana tugas pemandu pelancong di sana adalah untuk menyelaras dan juga dalam hal yang lain.

“Akan tetapi apabila kami menuju ke beberapa destinasi, ada terdapat pakar-pakar yang sebenar dalam mengongsikan sesuatu,” tambahnya.

Acara perkongsian berkenaan telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta dari sektor swasta, termasuk PKS dalam industri pelancongan.

Sebahagian daripada yang hadir juga telah mencadangkan mengenai penggunaan media sosial untuk mempromosikan potensi pelancongan Brunei. Sebagai contoh, industri pelancongan perlu untuk menyediakan cara yang lebih maju untuk pelancong agar mempermudah mereka dalam mencari tempat penginapan serta mencari tempat tarikan pelancong di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA