Kongsi ilmu bacaan Al-Quran bersama

Kongsi ilmu bacaan Al-Quran bersama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Pelajar-pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) telah diberikan peluang untuk mendengar bacaan qari jemputan daripada Republik Arab Mesir, Dr. Syeikh Abdul Fattah At-Thoruthi semasa lawatan delegasi jemputan Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437H/2016M ke STAR yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Beribi, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Hajah Rusita binti Haji Yahya.

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Haji Shamsol bin Haji Omar, dengan adanya lawatan itu, akan dapat menyuntik semangat para pelajar yang mengikuti Program STAR.

Selain itu, lawatan juga bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai Program STAR yang ada di negara ini, disamping mengadakan sesi dialog bersama tenaga pengajar dan pelajar-pelajar STAR agar mereka dapat menimba ilmu dari qari jemputan luar negeri yang berkepakaran dalam bidang pembacaan Al-Quran khususnya dari segi Tarannum, Tajwid, Fasahah dan Suara.

Dr. Syeikh Abdul Fattah At-Thoruthi ketika sesi kongsisama bersama pelajar STAR.
Dr. Syeikh Abdul Fattah At-Thoruthi ketika sesi kongsisama bersama pelajar STAR.

Majlis diserikan dengan persembahan bacaan Al-Quran daripada pelajar STAR kelas lanjutan, Awang Abdul Hanan bin Amir, disusuli dengan bacaan Al-Quran daripada Dr. Syeikh Abdul Fattah At-Thoruthi dan sesi kongsisama.

Semasa kongsi sama itu, Dr. Syeikh Abdul Fattah At-Thoruthi menekankan bahawa Al-Quran merupakan sebagai mahkota yang harus diletakkan ditempat yang terbaik seperti di atas kepala seseorang dan ketika membaca Al-Quran haruslah mempunyai dan menjaga adab untuk menyampaikan bacaan kepada orang lain.

Lebih 50 pelajar STAR menyertai majlis tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA