Kongsi ilmu berguna

Kongsi ilmu berguna

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Untuk memberi kesedaran kepada murid-murid tentang bahaya dan ancaman dalam penggunaan Internet yang tidak terkawal dan perkongsian maklumat peribadi melalui aplikasi media sosial, Sekolah Ugama (SU) Rimba I, semalam, telah mengadakan Ceramah Penyalahgunaan Internet dan Media Sosial yang berlangsung di Dewan Perpaduan, sekolah itu.

Kira-kira 180 orang menghadiri ceramah tersebut yang terdiri daripada murid Darjah 4 hingga 6 serta guru-guru. Turut hadir ialah Guru Besar Sekolah Ugama Rimba I, Hajah Salmaya binti Haji Asmat.

Ceramah telah disampaikan oleh Ketua Sumber-sumber Manusia Information Technology Protective Security Services (IPTSS), Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), Awang Mordeny bin Haji Modihi.

Beliau antara lain menerangkan mengenai penyebaran maklumat yang tidak sahih atau mesej palsu, pembulian siber, pencurian identiti dan ancaman perkongsian maklumat peribadi dalam aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati agar sentiasa kemas kini pengimbas virus dan berhati-hati apabila memuat turun sebarang aplikasi melalui sumber yang tidak sah.

Inspektor Hamdan ketika menyampaikan ceramahnya kepada murid-murid Sekolah Ugama Rimba I.
Inspektor Hamdan ketika menyampaikan ceramahnya kepada murid-murid Sekolah Ugama Rimba I.

Turut dikongsikan ialah langkah-langkah keselamatan dalam penggunaan telefon pintar, tablet dan komputer.

Pihak BruCERT turut mengedarkan buku panduan keselamatan bagi melindungi telefon bimbit dan tablet kepada murid-murid dan guru-guru.

Sementara itu, SU Rimba I juga telah mengadakan Ceramah Keselamatan dan Pencegahan Jenayah yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kesan dan akibat daripada melakukan jenayah serta hukuman bagi kesalahan-kesalahannya.

Kira-kira 500 orang menghadiri ceramah tersebut yang terdiri daripada murid-murid darjah Pra hingga Darjah 6 serta guru-guru mereka.

Ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam polis, Polis Diraja Brunei, Inspektor Hamdan bin Mantul.

Antara yang diterangkan adalah mengenai kesalahan-kesalahan yang sering berlaku dalam kalangan remaja seperti buli, mencuri, berkelahi, melepak dan sebagainya yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menerangkan tentang hukuman dan kesan/ akibat melakukan jenayah.

Pihak polis memberi nasihat supaya jangan sekali-kali melibatkan diri dengan jenayah sekecil manapun dan mematuhi peraturan sekolah serta undang-undang negara.

Pihak polis juga mengingatkan agar murid-murid dapat melaporkan dengan segera jika berlaku sebarang jenayah.