Kongsi ilmu raja buah

Kongsi ilmu raja buah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos –Pakar-pakar durian dari negara ini dan beberapa buah negara jiran berhimpun di Dewan Simpur, Pusat Hortikultur Rimba hari ini bagi menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai kehebatan raja segala buah, durian.

Ceramah julung-julung kali anjuran Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Rawfood Asia itu diadakan sempena Pesta Durian 2015 dan dihadiri oleh tetamu kehormat, Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Hajah Khartini binti Haji Musa.

Ia turut dihadiri oleh petani-petani tempatan serta pegawai dan kakitangan di Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Rawfood Asia.

Tiga orang pakar durian dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura berkongsi maklumat dalam ceramah itu. Pakar dari Brunei, Awang Jumat bin Haji Alim menyampaikan ceramah bertajuk ‘Durian di Brunei Darussalam.’

Beliau menyentuh mengenai jenis-jenis durian yang ditanam di negara ini dan berkongsi pengalaman menanam durian serta cara-cara mengekalkan pertumbuhan buah durian.

Hajah Khartini hadir selaku tetamu kehormat majlis itu.
Hajah Khartini hadir selaku tetamu kehormat majlis itu.
Dr Abdul Aziz Zakarian semasa menyampaikan ceramah.
Dr Abdul Aziz Zakarian semasa menyampaikan ceramah.

Penceramah dari Malaysia, Dr Abdul Aziz Zakarian pula memberi tip kepada audien dalam ceramahnya bertajuk ‘Mengenali Durian Malaysia.’

Menurut beliau durian mempunyai ciri-ciri tertentu yang menyebabkan ia digelar ‘Raja Segala Buah’ seperti hanya ada mengikut musim, digemari oleh sebahagian penduduk dunia terutamanya di rantau Asia Tenggara, saiz besar, berduri dan gugur sendiri apabila sudah masak.

Di Malaysia, terdapat empat jenis dan spesies durian iaitu durian Kampung, durian Klon, durian Hutan dan durian Sabah dan Sarawak. Durian Suluk merupakan durian unik kerana durian hibrid hasil daripada pendebungaan silang di antara durian Zibethnus dengan durian Graveolens dan kebanyakan saiz buah durian Suluk lebih besar daripada durian Otak Udang dan warna isinya pula adalah kuning hingga oren dan kemerah-merahan, tambahnya.

Manakala penceramah dari Indonesia, Dr Lutfi Bansir Sp, pula menyampaikan tajuk ‘Perkembangan Durian di Indonesia.’

Menurut beliau, Indonesia mengimport banyak buah sehinggakan sebahagian buah tempatan musnah. Namun terdapat 91 jenis buah durian di Indonesia ditemukan bermula tahun 1984 hingga sekarang dan semakin berkembang luas dari tahun ke tahun.

Ceramah bertujuan memberikan maklumat dan berkongsi pengalaman oleh pakar dari negara jiran kepada petani tempatan di samping menggalakkan usaha bertanam untuk membangunkan ekonomi negara.

ARTIKEL YANG SAMA