Kongsi inisiatif Brunei di Thailand

Kongsi inisiatif Brunei di Thailand

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam terutama dalam membantu meningkatkan keupayaan sara diri masyarakat dan keusahawanan masyarakat seperti inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P) akan diketengahkan dan dikongsi bersama para peserta dari negara-negara anggota ASEAN yang menyertai Program Wakil-wakil Belia ASEAN dalam Menimba Ilmu Falsafah Ekonomi Sara Diri (AY-REPSE) 2016.

Perkongsian pengalaman dan pembentangan program berkenaan akan diberikan oleh rombongan seramai tujuh orang yang diketuai oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly yang mewakili Negara Brunei Darussalam dalam program yang berlangsung selama 14 hari di Thailand itu.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, bagi mengucapkan selamat jalan dan menyampaikan kata-kata nasihat kepada rombongan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Haji Noor Jusmin dalam kata-kata nasihatnya menyatakan bahawa ahli-ahli delegasi belia yang menyertai program itu merupakan belia-belia terpilih yang menunjukkan keupayaan dan daya kepimpinan belia yang tinggi.

Oleh itu, beliau berharap mereka akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menyertai program berkenaan serta menghayati semua pengalaman yang dipelajari sepanjang program itu nanti, untuk digunakan atau dikongsi bersama bagi membantu meningkatkan keupayaan program sara diri masyarakat tempatan.

Haji Noor Jusmin menyampaikan kata-kata nasihat kepada para peserta program.
Haji Noor Jusmin menyampaikan kata-kata nasihat kepada para peserta program.
Haji Noor Jusmin bergambar ramai dengan delegasi Negara Brunei Darussalam.
Haji Noor Jusmin bergambar ramai dengan delegasi Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu, Haji Mohamad Rosfazilah dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, menyatakan bahawa program itu memberikan peluang yang amat baik bagi para belia untuk melihat sendiri dengan lebih dekat mengenai program-program sara diri yang dikendalikan oleh kerajaan Thailand untuk membantu meningkatkan keupayaan masyarakat Thailand khususnya untuk meningkatkan sara diri mereka dalam bidang keusahawanan.

Beliau menjelaskan, semasa program itu, delegasi dari negara-negara ASEAN termasuk Brunei akan dibawa untuk melawat pusat-pusat pengajian tempatan terpilih di empat buah wilayah iaitu Bangkok, Chiang Mai, Sakon Nakhon dan Chanthaburi di mana mereka akan mempelajari mengenai program sara diri yang dilaksanakan di wilayah-wilayah berkenaan.

Menerusi lawatan itu, beliau menyatakan harapan para peserta dapat mempelajari mengenai program itu dan akan dapat membawa pulang ilmu pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan untuk dikongsi bersama di Negara Brunei Darussalam dan jika ia bersesuaian, program berkenaan turut dapat dicadangkan untuk diperkenalkan atau dilaksanakan di Brunei.

Di samping itu, beliau juga berkata, di hujung program lawatan berkenaan, delegasi dari Brunei juga akan membentangkan kertas kerja yang mengetengahkan dan mengongsi pelbagai program serta inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan di Brunei untuk menggalakkan serta meningkatkan lagi tahap sara diri dan keusahawanan di kalangan masyarakat.

Dalam pembentangan itu, Program 1K1P yang memberikan tumpuan kepada usaha beberapa kegiatan dan produk 1K1P yang berpotensi akan diketengahkan dan dikongsi dengan harapan kejayaan pelaksanaan program itu di Brunei dapat menjadi contoh untuk membantu perkembangan bantuan sara diri masyarakat di negara-negara ASEAN yang lain.

Selain daripada itu, beliau juga berkata bahawa peserta-peserta belia dari Brunei tidak ketinggalan untuk memperkenalkan budaya masyarakat Brunei menerusi persembahan kebudayaan yang bakal diadakan semasa program itu nanti.

Manakala itu, salah seorang peserta program, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Majlis AIDS Brunei Darussalam, Awangku Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin berkata, penyertaan mereka dalam program itu memberikan peluang kepada mereka untuk mengetahui bagaimana program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan Thailand dapat membantu mengembangkan semangat keusahawanan masyarakat dan kampung.

Beliau berkata, program itu menumpukan kepada keupayaan sara diri ekonomi dalam kalangan penduduk kampung atau masyarakat dan usaha itu adalah amat bertepatan dengan usaha yang sedang dilaksanakan oleh Brunei dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Dalam hubungan itu, Awangku Haji Ahmad Fadillah Akhbar berkata, segala pengalaman dan ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam program itu adalah berguna baginya dan golongan belia tempatan kerana ia boleh membuka minda mereka untuk menerokai peluang-peluang keusahawanan yang baru bagi meningkatkan daya sara diri di kalangan belia.

“Ini merupakan peluang yang amat baik bagi kami untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai konsep sara diri ekonomi serta bagaimana kami boleh melaksanakannya dengan baik serta efektif di Brunei.”

Program yang bermula hari ini hingga 17 Oktober itu disertai oleh tujuh orang peserta dari Brunei yang terdiri daripada pegawai kerajaan, mahasiswa Universiti Brunei Darussalam dan ahli persatuan-persatuan belia tempatan.

Program itu bermatlamat untuk meningkatkan dan mengukuhkan kefahaman mengenai inisiatif kerajaan Thailand dalam bidang sara diri masyarakat dengan wakil-wakil belia ASEAN serta untuk menggalakkan pembelajaran dan perkongsian inisiatif kerajaan Thailand sebagai panduan di semua peringkat bagi membawa kepada pembangunan mapan bersepadu di ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA