Kongsi isu menerusi portal dalam talian

Kongsi isu menerusi portal dalam talian

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Berikutan dengan acara Hari Terbuka Perusahaan yang berlangsung pada 19 hingga 21 Januari lalu, Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri mengalu-alukan semua perusahaan untuk berkongsi isu-isu atau cadangan mereka menerusi portal dalam talian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, portal dalam talian itu akan berfungsi sebagai perkhidmatan 24 jam bagi perusahaan-perusahaan, membolehkan syarikat-syarikat membangkitkan sebarang isu berkaitan perniagaan, pertanyaan atau cadangan di http://business.gov.bn/SitePages/Logging%20Issue.aspx bermula esok (1 Februari 2016).

Menurut kenyataan itu, semua maklumat yang diterima dalam talian akan disusuli oleh sebuah pasukan yang akan menangani isu-isu yang didaftarkan secara langsung, dengan input daripada sektor kerajaan yang berlainan.

Syarikat-syarikat dijangka menerima respons mengenai input mereka dalam tempoh lima hari bekerja, bergantung pada kerumitan isu berkenaan.

Bagi urusan langsung, mereka juga dialu-alukan untuk datang ke kaunter bantu perniagaan yang kini dibukakan setiap Rabu dan Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 4 petang (kecuali Jumaat yang ditutup dari 12 tengah hari hingga 2:30 petang), di Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-37, Taman Teknologi Anggerek Desa.

Menurut kenyataan itu lagi, pada April ini, meja bantu berkenaan akan dibuka lima hari seminggu, dari Isnin hingga Jumaat.

Portal dalam talian ini bermatlamat untuk menyediakan platform lebih efisien dan efektif bagi perusahaan membangkitkan sebarang isu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperbaiki kemudahan menjalankan perniagaan di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA