Kongsi kunci kejayaan bersama

Kongsi kunci kejayaan bersama

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Bersempena Ulang Tahun ke-30 Readymix Brunei, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer, hari ini mengalu-alukan kedatangan para Alumni Australia dan rakan-rakan dari Suruhanjaya Tinggi Australia ke Seminar Inspirasi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Readymix Brunei, Nicholas Cocks yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia sentiasa membuka peluang untuk membina dan mengukuhkan hubungan antara Alumni Australia di Brunei, dan komuniti perniagaan Australia yang lebih luas di rantau ini dan seterusnya.

“Kami amat gembira Nick sudi mengongsikan pengalamannya beroperasi semasa di Australia, di samping di seluruh rantau ini dan di Brunei dan memberikan perspektif yang berharga kepadanya mengenai cabaran yang dihadapi oleh perniagaan tempatan baru.”

Dalam seminar yang bertajuk ‘Securing Success: how to grow from small to South East Asia’ tersebut, beliau mengongsikan dan menceritakan bagaimana pengalamannya untuk mengembangkan Readymix yang bermula daripada perniagaan secara kecil-kecilan di Adelaide, Australia kepada kejayaannya menuju tahap multinasional.

Para tetamu juga diberikan peluang untuk mengajukan pelbagai soalan yang menjurus kepada kerjaya dan pengalamannya dalam perniagaan di tahap profesional.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Australia sentiasa mengalu-alukan semua Alumni Australia untuk menyertai dalam mana-mana seminar yang dianjurkan dan jika berminat, bolehlah menghantar e-mel ke austhicom.brunei@dfat.gov.au atau melayari laman Facebook Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA