Kongsi maklumat kes jenayah, lalu lintas

Kongsi maklumat kes jenayah, lalu lintas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Mei – Bagi berkongsi maklumat mengenai kawalan keselamatan di Daerah Belait, satu majlis perjumpaan bersama Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait bersama penghulu dan ketua-ketua kampung serta ketua-ketua rumah panjang telah diadakan bagi Suku Pertama Tahun 2016 semalam di salah sebuah rumah penghulu kampung.

Majlis dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Superintenden Ariffin bin Haji Jafaruddin dan turut dihadiri oleh tetamu kehormat, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman serta pegawai-pegawai kanan Daerah Polis Belait.

Ia antara lain diisikan dengan penyampaian taklimat statistik kadar kes jenayah, kemalangan lalu lintas dan operasi rondaan polis bersama ahli Pengawasan Kejiranan 2016 yang disampaikan oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait, ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin, Pegawai Penguasa Balai Polis Seria P/ASP Mohd Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abdul Aziz dan Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli.

Sesi bergambar ramai pada Majlis Perjumpaan Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait.
Sesi bergambar ramai pada Majlis Perjumpaan Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait.

Selain berkongsi maklumat mengenai kes-kes jenayah dan kemalangan lalu lintas, perjumpaan juga adalah untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan menangani pencegahan kes-kes kesalahan jenayah.

Ia juga membincangkan aktiviti rondaan pencegahan jenayah pada tahun lalu dan perancangan pada tahun ini.

Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil lantikan kepada 15 orang ahli baru Pengawasan Kejiranan dari Kampung Lumut I, Kampung Sungai Liang dan Kampung Pandan B yang disempurnakan oleh Haji Haris kepada penghulu dan ketua-ketua kampung berkenaan.