Kongsi maklumat pelaburan di Australia

Kongsi maklumat pelaburan di Australia

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seminar Hartanah dan Penghijrahan Australia, yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini, di Bilik Mesyuarat, The Empire Hotel & Country Club, memberikan maklumat berguna kepada mereka yang ingin berhijrah ke negara berkenaan.

Pada hari terakhir seminar anjuran Inspire Living itu, hari ini, turut memperkenalkan pangsapuri MARCO yang terletak di nadi Melbourne, iaitu wilayah terkenal yang dinamakan sebagai ‘bandar paling sesuai didiami di dunia’ buat lima tahun berturut-turut.

Para peserta seminar turut mengetahui maklumat terkini mengenai undang-undang Victoria, projek pelan pelaburan di Melbourne, pilihan pembiayaan bagi pelabur asing dan peraturan cukai.

Di samping itu, wakil dari Kerajaan Wilayah Victoria, My Linh Pham yang membuat lawatan ke negara ini sebagai kunjungan khas turut menyampaikan sedikit sebanyak maklumat mengenai penghijrahan ke Australia.

Alvin Wang menerangkan Melbourne akan sentiasa berkembang dan berdaya tahan.
Alvin Wang menerangkan Melbourne akan sentiasa berkembang dan berdaya tahan.
Antara pengunjung yang berminat dalam pelaburan di Melbourne, Australia.
Antara pengunjung yang berminat dalam pelaburan di Melbourne, Australia.

Dalam seminar itu, Ketua Pemasaran SLP International Property Consultant, Alvin Wang berkata bahawa Melbourne akan sentiasa berkembang dan berdaya tahan sebagai ekonomi dan lokasi sesuai bagi mempertimbangkan pelaburan hartanah.

“Memandangkan mata wang Australia juga pada titik paling rendah berbanding mata wang Brunei sejak lima tahun kebelakangan ini, hartanah Australia sekarang sangat berpatutan sebagai pelaburan yang boleh menjimatkan 25 hingga 30 peratus dalam pembelian berbanding tahun lepas,” ujarnya.

Pangsapuri MARCO menawarkan satu, dua atau tiga bilik tidur di tengah kawasan Southbank dengan dua menara menakjubkan. Pangsapuri berkenaan juga berhampiran kawasan pusat perniagaan dengan jarak perjalanan lima minit, dua minit ke dermaga, dan 12 minit ke University of Melbourne.

Semasa seminar itu, Alvin Wang turut menayangkan beberapa video pembangunan Melbourne selama ini dan perkembangan kehidupan yang dialami oleh penghijrah dari negara-negara antarabangsa ke wilayah tersebut.

Pada seminar itu juga, penilaian kelayakan untuk memohon menjadi penduduk tetap Australia juga diberikan secara percuma.

ARTIKEL YANG SAMA