Kongsi maklumat trend jenayah

Kongsi maklumat trend jenayah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Bagi memerangi ancaman-ancaman rentas sempadan yang membabitkan jenayah keganasan, kegiatan radikal dan ekstre-misme serta jenayah-jenayah rentas sempadan yang lain, hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura perlu dieratkan.

Perkara ini dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak semasa kunjungan muhibah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Republik Singapura, Leo Yip kepada Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar, di JPM, hari ini.

Semasa kunjungan berkenaan, Brunei dan Singapura telah melahirkan rasa puas hati terhadap hubungan kerjasama dua hala yang telah terjalin dalam mengukuhkan lagi kerjasama di antara pegawai-pegawai kanan kedua-dua buah negara khususnya dalam konteks kerjasama menangani isu-isu keselamatan dan penguatkuasaan yang bertitik tolak daripada persefahaman melalui pemeteraian ‘Letter of Intent’ di antara JPM (Keselamatan dan Penguatkuasaan) Negara Brunei Darussalam dan KHEDN, Republik Singapura pada 10 September 2014.

Turut hadir semasa kunjungan muhibah tersebut ialah Setiausaha Tetap di JPM, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof; Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan DCP Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sejurus selepas kunjungan tersebut, Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan di JPM, Negara Brunei Darussalam dan KHEDN, Republik Singapura telah mengadakan Mesyuarat Dua Hala ke-2 yang telah dipengerusikan bersama oleh Awang Abdul Mutalib dan Leo Yip.

Dato Paduka Haji Hamdan ketika menerima kunjungan muhibah daripada Leo Yip.
Dato Paduka Haji Hamdan ketika menerima kunjungan muhibah daripada Leo Yip.

Juga hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Dato Seri Pahlawan DCP Haji Mohd Jammy, ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan di Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan JPM dan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawahnya.

Tujuan utama mesyuarat berkenaan diadakan adalah bagi mengongsikan pengalaman operasi dalam menentang jenayah pengganasan dan jenayah merentas sempadan, bertukar maklumat terhadap trend jenayah dan pengalaman domestik dalam membanteras jenayah pengganasan, penyeludupan dadah haram, penyeludupan manusia, jenayah siber, pembersihan wang haram, lanun dan isu-isu kepentingan bersama kedua-dua negara dan juga meneroka latihan-latihan bagi pegawai agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut adalah perkongsian maklumat mengenai trend jenayah semasa dan strategi-strategi pencegahan dan pembanterasan jenayah rentas sempadan bagi kedua-dua buah negara dan bidang kerjasama lain yang berkepentingan bersama kedua-dua buah negara.

Kemudian, mesyuarat juga diselajurkan dengan lawatan kerja para delegasi Republik Singapura ke State Control Centre, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pusat Al-Islah, dan Biro Kawalan Narkotik. Beberapa acara sukan juga telah diaturkan semasa delegasi berada di Brunei.

Sejak penandatanganan ‘Letter of Intent’, kedua-dua pihak telah berjaya mengungkayahkan Mesyuarat Dua Hala Pertama, yang berlangsung di Republik Singapura pada Mei 2015.

Salah satu keputusan daripada mesyuarat kali pertama tersebut ialah kerjasama untuk mengadakan Program Tahunan Pertukaran Latihan Bersama bagi Pegawai-pegawai Kanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Dengan semangat kerjasama yang tinggi, kedua-dua belah pihak telah berjaya mengadakan program tersebut pada 16 hingga 27 November 2015 lalu di Negara Brunei Darussalam dan juga Republik Singapura.