Kongsi manfaat bersama

Kongsi manfaat bersama

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 April – Rombongan pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Tanjong Katong, Singapura, hari ini, telah mengakhiri lawatan mereka di negara ini bagi Program Pertukaran antara Sekolah-Sekolah Menengah Singapura dan Brunei, dan berlepas pulang tengah hari tadi.

Rombongan berkenaan telah diketuai oleh salah seorang guru sekolah berkenaan, Mohd Zain bin Mohammad yang memberitahu bahawa mengikuti program pertukaran ini membawa mafaat pada para pelajar dan guru yang terpilih.

Melalui program ini, katanya, para pelajar dan guru-guru membuat penempatan di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong di mana pelajar-pelajar belajar seperti biasa bersama kawan-kawan baru mereka dan guru-guru berbincang serta bertukar fikiran mengenai perkara-perkara yang bersangkut paut dengan perguruan, pembelajaran, pengajaran dan pendagogi termasuk berbincang mengenai modal insan guru.

Kebaikan program pertukaran ini kepada pelajar, ujar Mohd Zain, adalah para pelajar mengalami budaya baru di Negara Brunei Darussalam dengan budaya Melayu Islam yang kuat berbanding di Singapura, dan program ini dapat mendedahkan para pelajar menggunakan Bahasa Melayu yang baik di negara ini.

Selain itu, guru-guru juga dapat menjalinkan hubungan profesional dengan guru-guru di Brunei.

Rombongan Sekolah Tinggi Perempuan Tanjong Katong semasa membuat lawatan ke Daerah Tutong baru-baru ini.
Rombongan Sekolah Tinggi Perempuan Tanjong Katong semasa membuat lawatan ke Daerah Tutong baru-baru ini.

Mohd Zain menyatakan perasaan amat beruntung kerana sekali lagi beliau terpilih mengikuti program ini yang mana sebelum ini, beliau pernah mengikuti program pertukaran sama di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) pada 2014.

Apa yang menariknya melalui program ini, kedatangan mereka sejak 4 April yang lalu sehingga kini disambut dan dilayan dengan baik, yang menunjukkan orang-orang Brunei adalah sangat peramah, jelasnya. Sementara itu, dua pelajar dari Singapura, Ira Adreanna Naidu dan Afrin Najumudeen dari Tahun 9, pula menyatakan perasaan sangat teruja kerana dipilih mengikuti Program Pertukaran kerana ini merupakan kali pertama mereka melawat ke Brunei. Mereka mengakui, pelajar-pelajar yang mengikuti program ini yang pertama kali datang ke negara ini, mengalami kejutan budaya (culture shock) kerana Negara Brunei Darussalam amat terikat dengan budaya Melayu Islam yang kuat yang mana sebelum dan selepas acara akan mengutamakan doa.

Pada tahun ini, seramai 15 orang pelajar dan dua orang guru dari Sekolah Tinggi Perempuan Tanjong Katong dipilih mengikuti Program Pertukaran Sekolah Menengah antara Singapura dan Brunei di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah yang berlangsung selama lima hari.

Selain mengikuti jadual persekolahan di negara ini, rombongan pelajar juga berpeluang melawat ke beberapa buah tempat menarik di negara ini, antaranya ialah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Muzium Maritim Brunei dan persekitaran Pekan Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA