Kongsi pendidikan B. Melayu

Kongsi pendidikan B. Melayu

Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Rombongan seramai 18 orang guru Bahasa Melayu Peringkat Rendah dari Kementerian Pendidikan Singapura, hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Baru, Kementerian Pendidikan di Lapangan Terbang Lama Berakas sebagai sebahagian daripada Program Kumpulan Kerja Sama (JWG) antara Kementerian Pendidikan kedua-dua buah negara.

Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum (JPK), Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi berkata, Kumpulan Kerja Sama itu merupakan program kerjasama pendidikan jangka panjang hasil jalinan persahabatan dan kerjasama pendidikan di antara Kementerian Pendidikan Brunei dengan Kementerian Pendidikan Republik Singapura.

Menurut beliau, pada tahun ini seramai 18 orang guru dan pegawai menyertai program tersebut dan mereka terdiri daripada seorang guru pakar, seorang koordinator kanan, enam orang koordinator, tiga guru kanan dan tujuh orang guru Bahasa Melayu.

Antara objektif utama program JWG adalah untuk memberikan peluang serta pendedahan kepada para pegawai dan guru-guru untuk menambah ilmu dan pengalaman, perkongsian dengan guru-guru Bahasa Melayu di negara ini dengan lebih dekat lagi.

Beliau menjelaskan, perkongsian yang dimaksudkan adalah perkongsian dari aspek pedagogi, kurikulum, penilaian, pengajaran pembelajaran dan aktiviti-aktiviti kebahasaan yang lazimnya dilaksanakan di negara ini, untuk digunakan dalam pembaikan dan pembangunan pendidikan Bahasa Melayu di Singapura.

Antara yang hadir bersama para guru dari Republik Singapura.
Antara yang hadir bersama para guru dari Republik Singapura.

“Selain itu, para peserta JWG juga akan berpeluang mengenali secara langsung akan sosio sekolah dan sosiobudaya masyarakat di negara kita, Brunei Darussalam,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai atur cara sepanjang lawatan rombongan di Brunei, beliau berkata, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam selaku tuan rumah, telah menyusun penempatan mengajar di beberapa buah sekolah rendah dan lawatan bagi guru-guru JWG Singapura berkenaan sepanjang berada di Negara Brunei Darussalam.

Dalam lawatan tersebut, rombongan berkenaan juga telah mendengarkan taklimat mengenai Kurikulum dan Penilaian Bahasa Melayu Peringkat Rendah yang disampaikan oleh Ketua Unit Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Haji Tamam bin Haji Timbang.

Lawatan dimeriahkan dengan persembahan menambang syair dan tayangan video serta kunjungan ke kedai buku JPK, di Bangunan Baru Kementerian Pendidikan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA