Kongsi pengalaman bengkel di Myanmar

Kongsi pengalaman bengkel di Myanmar

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Dua orang belia Brunei baru-baru ini telah menyertai bengkel ‘Generasi YSEALI: Belia Bersatu Menentang Dadah’ yang diadakan di Yangon, Myanmar pada 3 hingga 7 Ogos lalu.

Sehubungan itu, hari ini, kedua-dua belia berkenaan, Awang Mohammad Fathi Alikhan dan Dayang Siti Aqilah binti Haji Mokti telah mengongsikan pengalaman mereka bersama pihak media dalam sesi kongsi sama yang berlangsung di Starbuck Mabohai, di sini, pagi tadi.

Turut hadir semasa sesi itu ialah Pengarah Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Catherine E. Muller dan Penyelaras Alumni Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei, Awang Iswandy Ahmad.

Dalam temu bual tersebut, kedua-duanya melahirkan perasaan amat beruntung kerana terpilih mengikuti bengkel tersebut, sekali gus berpeluang mendapat pengalaman yang tidak dilupai di samping dapat menimba ilmu dan bertukar pendapat bersama-sama 30 orang pemimpin belia dari negara-negara Asia Tenggara.

Menurut mereka, semasa bengkel berkenaan, para peserta telah didedahkan mengenai tiga isu yang berkaitan dengan Pengurangan Permintaan Dadah, di mana para peserta mempelajari bagaimana dadah dapat mempengaruhi penagih dadah secara individual, masyarakat dan negara; memahami konteks bagaimana pengeluaran dadah itu berlaku serta bagaimana usaha untuk mengurangkan penggunaan dadah secara holistik dengan memberikan kesedaran awam dan mengadakan kempen anti-dadah.

(Dari kanan) Catherine E. Muller; Dayang Siti Aqilah, Awang Mohammad Fathi dan Awang Iswandy Ahmad.
(Dari kanan) Catherine E. Muller; Dayang Siti Aqilah, Awang Mohammad Fathi dan Awang Iswandy Ahmad.

Bengkel itu telah memberi peluang kepada belia-belia untuk membangunkan idea-idea bagaimana negara dapat mengurangkan permintaan dadah di samping dapat bekerjasama dengan negara-negara jiran dalam menjalankan projek tersebut.

Dayang Siti Aqilah berkata, untuk memulihkan seseorang itu daripada ketagihan dadah, mereka perlu mempunyai sokongan kuat daripada masyarakat sekeliling terutamanya anggota keluarga dan kawan-kawan rapat.

Selain itu, para penagih juga perlu diberikan bantuan daripada segi menyampaikan nasihat yang positif kerana terdapat penagih-penagih dadah menggunakan barang tersebut disebabkan inginkan kedamaian dan melegakan tekanan hidup kerana mengalami masalah kehidupan.

Beliau juga menjelaskan, terdapat pengguna-pengguna dadah ini adalah disebabkan oleh pengaruh dari luar dan tidak mengetahui bahawa dadah boleh membahayakan kehidupan mereka.

Menerusi sesi tersebut, belia-belia ASEAN seperti di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura bekerjasama mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah luar bandar melalui program Outreach di mana mereka menyampaikan kesedaran melalui pendidikan terhadap keburukan dadah.

Menurut Dayang Siti Aqilah lagi, dengan menyampaikan pendidikan mengenai bahayanya penggunaan dadah ini akan dapat memberikan kesedaran terhadap mereka khususnya kanak-kanak yang tidak mengetahui mengenai dadah dan sentiasa bersikap berwaspada, tidak terpedaya dan terpengaruh dengan masyarakat yang terpengaruh dengan dadah.

Menurut Dayang Siti Aqilah yang merupakan salah seorang pemegang ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kriminologi, beliau ingin menyertai bengkel itu kerana berminat mendalami isu-isu memerangi dadah disebabkan oleh kesan-kesan memudaratkan kepada masyarakat.

Sementara itu, Awang Mohammad Fathi, 29, pula memberitahu bahawa dalam bengkel itu juga, terdapat peserta yang terdiri daripada bekas-bekas penagih dadah yang mempunyai masalah pengambilan dadah.

Dalam hal ini, mereka menceritakan dan berkongsi pengalaman mereka yang mengalami masalah pengambilan dadah terkawal dan seterusnya berkongsi pengalaman mereka bagaimana menghindarinya.

Dalam sesi perkongsian tersebut, ia adalah suatu yang amat bermakna, menarik perhatian mereka dan sangat berguna bagi belia-belia seperti mereka, ujar beliau.

Awang Mohammad Fathi merupakan salah seorang pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan, dan beliau menyertai program tersebut kerana ingin berinteraksi bersama pemimpin-pemimpin belia dalam menangani isu-isu penyalahgunaan dadah.

ARTIKEL YANG SAMA