Kongsi pengalaman jelajah dunia

Kongsi pengalaman jelajah dunia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Dengan hasrat untuk memperkenalkan dan mempromosikan Negara Brunei Darussalam serta berbekalkan semangat cintakan negara, Dayang Norhayati binti Abu Bakar bersama-sama suaminya bukan sahaja berjaya untuk mengembara ke hampir seluruh pelosok dunia malahan mengharumkan serta memperkenalkan Brunei kepada dunia.

Dengan dasar cintakan negara dan ingin mempromosikan Negara Brunei Darussalam terutama semasa Tahun Melawat Brunei 2001, jelas Dayang Norhayati, beliau mendapat ilham untuk memulakan pengembaraan meneroka dunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai keunikan dan keindahan Brunei di pentas dunia.

Pelbagai pengalaman, cabaran, rintangan dan kejayaan telah ditempuh oleh dirinya bersama suaminya, namun begitu, semangat cintakan negara terus membakar dalam dirinya dan itulah yang menjadi lampu suluh menuju kejayaan bagi dirinya.

Pengalaman itu dikongsi oleh pengembara negara, Dayang Norhayati semasa Majlis Apresiasi dan Kongsi Pengalaman Menjelajah Dunia yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Berakas, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali.

Awang Wardi yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Awang Wardi yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Dayang Norhayati mengongsikan pengalamannya menjelajah dunia.
Dayang Norhayati mengongsikan pengalamannya menjelajah dunia.

Dayang Norhayati bersama suaminya telah menjelajah hampir ke seluruh pelosok dunia dari benua Afrika, Eropah, Siberia hingga ke puncak gunung yang tinggi di mana beliau menyatakan bahawa setiap pengembaraan dan benua yang berjaya dijelajah mempunyai pengalaman, cabaran dan kenangan manisnya yang tersendiri.

Bagi dirinya, moto hidup yang penting adalah untuk mempunyai pegangan dan kepercayaan yang kuat kepada diri sendiri serta tidak mudah mengalah walaupun berhadapan dengan pelbagai hambatan rintangan kerana tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan.

Terdahulu, Pengerusi Majlis, Leftenan Kolonel (B) Haji Abidin bin Haji Haris dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa majlis itu adalah untuk memberikan penghargaan atas usaha yang telah ditunjukkan oleh Dayang Norhayati, bekas pelajar Sekolah Menengah Berakas yang telah membuktikan keberanian, keupayaan dan kesanggupan menjelajah dunia dengan memperkenalkan bendera dan nama Negara Brunei Darussalam ke mata dunia.

Majlis itu, jelasnya lagi, juga memberikan peluang kepada Dayang Norhayati untuk mengongsi pengalaman yang diperoleh dalam pengembaraannya itu dan pada masa yang sama, memberikan peluang kepada mantan guru-guru dan pelajar sekolah itu untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara satu sama yang lain.

Leftenan Kolonel (B) Haji Abidin juga menyatakan syabas kepada Dayang Norhayati atas kejayaan beliau bersama suami menjelajah dunia dengan menggunakan kereta pacuan empat roda, Jambo, di mana diharap pengalaman mereka itu, akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada masyarakat khususnya golongan belia supaya menjadi warga yang kuat dan berani untuk menempuh sebarang cabaran serta untuk menunjukkan bahawa bangsa negara juga merupakan bangsa yang mempunyai daya saing yang kuat sama seperti bangsa lain yang ada di dunia.

“Sebegitu, jauh perjalanan dan pengembaraan Dayang Norhayati ini, namun beliau tetap membawa sebuah keyakinan, bahawa di mana bumi di pijak, di sana langit dijunjung.”

Tambahnya lagi, “Kerana keyakinan beliau inilah menjadikan beliau telah berjaya mengharungi segala halangan dan dugaan sepanjang pengembaraannya.”

Beliau turut menyatakan harapan supaya sikap itu akan dicontohi dan diikuti oleh belia-belia tempatan yang hendak berjaya dalam apa jua kegiatan yang diceburi mereka.

“Keyakinan pada diri sendiri itu amat penting, jangan cepat putus asa dan mengalah, sentiasa yakin di samping memohon pertolongan yang maha Esa.”

ARTIKEL YANG SAMA