Kongsi penyelidikan tiga tapak bersejarah

Kongsi penyelidikan tiga tapak bersejarah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Hasil penyelidikan 20 calon Ijazah Sarjana Kesusasteraan mengenai tiga buah tapak sejarah telah dipamerkan dalam Pameran Tradisi Lisan Brunei ‘Antara Sejarah dan Tradisi Lisan’, di Dewan Inspirasi, Pusat Pelajar, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Pameran sehari anjuran Program Kesusasteraan Melayu, Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial itu dilancarkan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Turut hadir menyaksikan pameran penyelidikan mengenai Batu Tarsilah, Makam Sultan Bolkiah dan Makam Raja Ayang itu ialah pensyarah-pensyarah UBD, guru-guru sekolah dan mahasiswa-mahasiswi UBD.

Salah seorang mahasiswi yang terlibat dalam penyelidikan tapak sejarah menunjukkan kepada Haji Muhammad Suffian mengenai hasil kajian mereka.
Salah seorang mahasiswi yang terlibat dalam penyelidikan tapak sejarah menunjukkan kepada Haji Muhammad Suffian mengenai hasil kajian mereka.
Calon-calon Ijazah Sarjana Kesusasteraan berkesempatan bergambar ramai bersama tetamu kehormat semasa pameran tersebut.
Calon-calon Ijazah Sarjana Kesusasteraan berkesempatan bergambar ramai bersama tetamu kehormat semasa pameran tersebut.

Pameran yang bermula jam 9 pagi hingga 4:30 petang itu adalah sebahagian daripada tugasan mahasiswa dan mahasiswi yang mengambil Modul AS5201, Penulisan Akademik, di bawah penyeliaan Dr. Maslin bin Haji Jukim.

Secara keseluruhannya, pameran berkenaan mengandungi lima bahagian utama dengan tiga kumpulan pembentangan terdiri daripada calon Sarjana Sastera Melayu telah memaparkan hasil penemuan kajian mereka mengenai tiga tapak bersejarah, Sedutan Rakaman Sebalik Penyelidikan dan Tayangan Dokumentari Siri Legenda.

Antara lain tujuan pameran tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang hasil penyelidikan yang telah dilakukan di samping mendorong para calon berkomunikasi dengan para pengunjung dalam mengongsikan hasil penyelidikan yang ditemui dan menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi berfikir secara kritis berdasarkan kepada bukti-bukti yang ada.

ARTIKEL YANG SAMA