Kongsi perkembangan kardiologi

Kongsi perkembangan kardiologi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Jantung ke-2 akan diadakan selama tiga hari bermula 25 sehingga 27 September ini di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Mesyuarat itu nanti akan disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada doktor-doktor tempatan, pakar perubatan pro-fesional dan juga para pelajar perubatan.

Yang Di-Pertua Persatuan Jantung Brunei Darussalam, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, semasa mempengerusikan sidang media mengenai mesyuarat berkenaan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), hari ini, menjelaskan matlamat utama mesyuarat adalah untuk mengongsikan mengenai perkembangan kardiologi di luar negara.

Di samping itu, ia juga untuk mening-katkan pendidikan dan latihan dalam bidang kardiologi di Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat kali ke-2 ini akan dimulakan dengan simposium pra-persidangan pada hari pertama mengenai aspek-aspek kardiologi, yang akan dipengerusikan oleh Dr. Shuaib Siddiqui dan Dr. Haji Nazar Luqman.

Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham semasa sidang media kelmarin.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham semasa sidang media kelmarin.

Manakala itu, perasmian mesyuarat akan diadakan pada 26 September dan dijangka hadir untuk menyempurnakan perasmian ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Pada majlis itu juga, ucaptama bertajuk New Frontiers in Cardiology akan disampaikan oleh Perunding Kardiologi, Pusat Jantung Universiti Kebangsaan Singapura, Dr. Pipin Kojodjojo dan juga pembentangan kertas-kertas kerja.

Sementara itu, pada hari terakhir pula, sebanyak 11 kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar-pakar kardiologi dari Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia.