Kongsi perkembangan terkini pendidikan

Kongsi perkembangan terkini pendidikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mempunyai hubungan kerjasama pendidikan yang erat yang mana ia terus ditingkatkan lagi melalui pelaksanaan program-program pendidikan dua hala yang bukan sahaja tertumpu pada pendidikan formal tetapi juga pendidikan holistik.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Brunei menjadi hos kepada Mesyuarat Kerjasama Kumpulan Kerja di antara Kementerian Pendidikan negara ini dan Kementerian Pendidikan Republik Singapura ke-8 yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Singapura, Chan Lai Fung.

Rombongan seramai lima orang dari Singapura itu terdiri daripada pengarah Bahagian Perancangan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan Republik Singapura.

Dr Haji Junaidi dalam kata alu-aluannya di mesyuarat itu menyatakan penghargaan di atas kerjasama erat yang terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang pendidikan di antara kedua-dua buah negara. Beliau juga berharap lawatan kerja rombongan yang diketuai oleh Chan Lai Fung ke Pusat Latihan Mekanik (PLM) pagi tadi juga memberikan pendedahan kepada usaha transformasi pendidikan teknikal yang sedang dilaksanakan oleh negara.

Dr Haji Junaidi (2 kanan) dan Chan Lai Fung (2 kiri) bergambar ramai bersama delegasi dari Kementerian Pendidikan Brunei dan Singapura yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Dr Haji Junaidi (2 kanan) dan Chan Lai Fung (2 kiri) bergambar ramai bersama delegasi dari Kementerian Pendidikan Brunei dan Singapura yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Chan Lai Fung dalam kata alu-aluannya pula berkata lawatan kerja ke PLM itu memberikan pendedahan yang amat berguna mengenai usaha Brunei dalam transformasi pendidikan teknikal yang mana ia bukan sahaja menunjukkan usaha ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan tetapi juga memberikan gambaran yang jelas mengenai cabaran-cabaran dalam membawa transformasi pendidikan teknikal dan vokasional yang dihadapi oleh kedua-dua buah negara.

Cabaran serupa yang dihadapi oleh kedua-duanya, sudah pasti akan dapat meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam menangani masalah dan cabaran yang serupa berkenaan, tambahnya lagi.

Mesyuarat Kerjasama Kumpulan Kerja itu merupakan mesyuarat tahunan di antara kedua-dua buah kementerian berkenaan bagi membincangkan mengenai program dan kegiatan kerjasama yang mana melalui mesyuarat yang kerap, mereka akan dapat mengetahui mengenai perkembangan terkini dalam bidang pendidikan.

Di mesyuarat itu, Kementerian Pendidikan negara ini mengetengahkan mengenai perkembangan terkini Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) yang sedang dilaksanakan yang mana program-program yang dikendalikan dihasratkan dapat meningkatkan lagi sistem pendidikan negara khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, Sistem Maklumat Pendidikan Bersepadu Kebangsaan (iNEIS) dan Standard Guru Brunei (BTS).

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Republik Singapura pula mengongsi perkembangan terkini pendidikan di negara berkenaan serta inisiatif berterusan kementerian itu untuk menyokong pendidikan holistik serta juga pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.

Kerjasama yang sedia ada dikaji dan perkembangan program serta kegiatan di bawah inisiatif kerjasama kumpulan kerja berkenaan turut dilaporkan semasa mesyuarat itu termasuk Program Berkembar Sekolah di antara Sekolah-sekolah Menengah dan Rendah kedua-dua buah negara, Program Penempatan Guru Bahasa Inggeris Brunei, Program Rendaman Guru Bahasa Melayu Singapura dan Kem Kembara Pemimpin-pemimpin Sekolah Brunei-Singapura.

Terdahulu sebelum mesyuarat berkenaan, delegasi dari Singapura berpeluang untuk melawat ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus PLM di Tungku, Gadong, yang dialu-alukan oleh Pengarah IBTE, Dr Chin Wei Kei.

Pengetua pusat berkenaan, Dr Sheikh Luqman Sheikh Abdul Hamid menyampaikan taklimat mengenai pusat itu dan juga mengetuai lawatan di kampus berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA