Kongsi rahsia kejayaan

Kongsi rahsia kejayaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Dua orang bekas graduan Politeknik Brunei yang mencatat kejayaan dalam bidang keusahawanan yang mereka kendalikan telah mengongsikan pengalaman mereka dalam sesi pertama Taklimat ‘Inspire’ bersama graduan-graduan lepasan Politeknik Brunei yang diadakan di One-Stop Centre, Politeknik Brunei, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Politeknik Brunei, dalam sesi berkenaan Awang Johari bin Brahim dan Awang Mohd Dzulhakim Ilham bin Haji Mohd Yassin turut memberikan nasihat yang membina untuk individu yang berhasrat untuk terus berjaya.

Awang Johari yang merupakan lepasan Program Diploma Lanjutan Keusahawanan Perniagaan 2015 telah mengongsikan mengenai pengalaman perusahaan dalam bidang pembinaan yang telah bermula sejak zaman persekolahan termasuklah semasa menuntut di Politeknik Brunei.

Usaha yang gigih, kepercayaan diri dan kesabaran merupakan antara elemen utama dalam kejayaannya, yang mana kini beliau merupakan pengurus di Syarikat Jocon Contractor.

Sementara itu, Awang Mohd Dzulhakim Ilham yang merupakan lepasan Diploma Lanjutan Teknologi Sistem Informasi 2015 pula mengongsikan usahanya yang telah bermula semasa menuntut di Politeknik Brunei yang sentiasa diiringi dengan sikap positif, bersemangat dan prinsip yang sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.

Awang Johari ketika mengongsikan pengalamannya.
Awang Johari ketika mengongsikan pengalamannya.
Para pegawai Politeknik Brunei bergambar ramai bersama alumni-alumni Politeknik.
Para pegawai Politeknik Brunei bergambar ramai bersama alumni-alumni Politeknik.

Beliau pernah berjaya dianugerahkan program 2014 AiTi Internship Student Programme for ICT Related Education (Inspire) yang telah memberinya peluang untuk menjalani latihan bekerja di Hello Technology Pte Ltd, Singapore. Selain itu beliau juga pemenang Pertandingan Kebangsaan dan Asia Pasifik Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET) 2013 dan berjaya menjalankan sebuah syarikat, NewGate Plus bersama rakan-rakannya.

Menurut kenyataan itu, taklimat bertujuan untuk sama-sama mengongsikan pengalaman dan kisah kejayaan lepasan-lepasan Politeknik Brunei dalam bidang masing-masing serta memberikan inspirasi kepada graduan-graduan lepasan yang lain untuk lebih berusaha dalam bidang keusahawanan di samping menjalinkan kerjasama bagi membuka peluang pekerjaan secara persendirian tanpa menunggu peluang pekerjaan yang ditawarkan di sektor kerajaan.

Taklimat tersebut telah dihadiri oleh para pegawai dan penuntut dari Politeknik Brunei, siswa-siswa dari Universiti Brunei Darussalam, Institut Teknologi Brunei, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.