Kongsi sama motivasi Mumtaz

Kongsi sama motivasi Mumtaz

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Unit Biasiswa dan Kerjaya, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), hari ini, telah mengungkayahkan program kongsi sama berbentuk motivasi Mumtaz dan ‘A’ Star bagi pelajar-pelajar Pra U1 dan U2 sekolah berkenaan.

Berlangsung di Dewan Al-Azkiya SMALHB, program motivasi ini menampilkan lima orang lepasan SMALHB iaitu Awangku Mohd Qamarussalihin bin Pengiran Mohd Saifuddin dan Awang Mohd Nur Naqiuddin bin Haji Rosman, kedua-duanya merupakan pelajar jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar Mesir; Awang Nazirul Mubin bin Ahad lepasan Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Jordan; Dayang Siti Nur Aziemah binti Haji Zaini, pelajar Universiti Coventry dan Dayangku Hajah Siti Hazirah binti Pengiran Haji Zulkarnain yang sedang menuntut di Universiti Nottingham.

Dalam kongsi sama tersebut, mereka memberikan tip-tip cara belajar yang berkesan bagi mendapatkan pencapaian keputusan baik, mengongsikan pengalaman ketika belajar dan menempuh waktu-waktu peperiksaan.

Pelajar-pelajar lepasan SMALHB yang terlibat dalam sesi kongsi sama motivasi bergambar ramai bersama pemangku pengetua SMALHB.
Pelajar-pelajar lepasan SMALHB yang terlibat dalam sesi kongsi sama motivasi bergambar ramai bersama pemangku pengetua SMALHB.

Para pelajar juga dinasihatkan agar menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru serta menghormati mereka, manakala doa pula merupakan senjata utama bagi orang Islam lebih-lebih lagi dalam berjihad mencari ilmu.

Setelah itu program diteruskan dengan program kongsi sama daripada HRDS Education Services, di mana para pelajar diberi pendedahan mengenai maklumat universiti-universiti yang ada di Malaysia, Australia dan United Kingdom.

Objektif kongsi sama ini diadakan adalah untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar-pelajar SMALHB agar terus bersemangat, memanfaatkan masa dengan lebih sistematik untuk mengulang kaji pelajaran dan bersaing secara sihat bagi mencapai keputusan yang cemerlang pada peperiksaan yang akan bermula pada hujung bulan Ogos hingga bulan September ini.

ARTIKEL YANG SAMA