Kongsi sektor pelancongan Malaysia terkini

Kongsi sektor pelancongan Malaysia terkini

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Sempena Ulang Tahun ke-49 ASEAN, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam telah mengadakan Taklimat Pelancongan Malaysia bagi menyampaikan maklumat terkini sektor pelancongan secara umum, khususnya pelancongan di Sabah.

Semasa sesi taklimat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini, hari ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman berkata, “walaupun cabaran semula jadi datang daripada manusia sendiri hampir separuh abad di rantau ini, kita telah banyak menyaksikan kemajuan besar dalam pembangunan pelancongan.

“Sektor ini merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara-negara di rantau ini,” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, hubungan dan sumbangan pelancongan dapat membantu potensi pelancongan yang memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi ASEAN.

Sebagai sebuah negara mega biodiversiti di dunia, ujar beliau, Malaysia mempunyai banyak untuk ditawarkan terutama dalam flora dan fauna di mana hutan Taman Negara dikatakan sebagai antara yang tertua di dunia.

Datuk Ghulam Jelani menyampaikan ucapan sebelum taklimat itu.
Datuk Ghulam Jelani menyampaikan ucapan sebelum taklimat itu.
Antara tetamu yang menghadiri taklimat tersebut.
Antara tetamu yang menghadiri taklimat tersebut.

Selain itu, ia juga menawarkan latar belakang yang sempurna untuk menyaksikan hidupan liar dalam habitat semula jadi mereka.

Dalam perkara ini, jelasnya, sektor pelancongan terus memainkan peranan penting dalam Program Transformasi Ekonomi Malaysia (ETP) ke arah merealisasikan status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Datuk Ghulam Jelani turut menekankan, Malaysia termasuk Sabah selamat sebagai destinasi percutian dan pelancongan.

Beliau berkata demikian berikutan dengan beberapa insiden penculikan yang berlaku di Sabah secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Taklimat sempena dua acara penting Malaysia iaitu Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada setiap 16 September itu dihadiri oleh wakil diplomat asing ke negara ini.

Pada acara itu, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah binti Othman dan Pengarah Pelancongan Malaysia (Brunei) Zurina binti Abdul Samad turut menyampaikan taklimat.

ARTIKEL YANG SAMA