Kongsi teknik jahitan betul

Kongsi teknik jahitan betul

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 15 Sept – Sebagai inisiatif untuk meningkatkan persaingan perniagaan dalam pasaran tempatan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) STKRJ Lorong Tiga, Seria telah mendaftarkan sepuluh orang lagi wanita di kampung berkenaan untuk menyertai Kursus Lanjutan Menjahit Pakaian Moden dan Menjahit Shawl di Seksyen Reka Fesyen dan Pembuatan Pakaian Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB), di sini, hari ini.

Setiausaha MPK STKRJ Lorong Tiga Seria, Awang Hassan bin Haji Masri semasa ditemui Media Permata memberitahu, peserta tersebut merupakan mereka yang telah menyertai kursus asas bidang jahitan pada bulan Jun lalu, dan penyertaan kali ini adalah untuk lebih didedahkan kepada teknik menjahit pakaian dan shawl wanita, serta mengendalikan peralatan dan mesin jahit dengan teknik yang betul dan selamat serta sebagainya.

Menurutnya lagi, kursus berkenaan adalah untuk memberikan kemahiran dan pengalaman kepada penduduk kampung mereka yang bukanlah hanya disasarkan kepada bahagian menjahit sahaja, malahan juga bidang lainnya.

Pada 22 September depan, satu lagi kursus dinamakan Skim Integriti Perniagaan kendalian LiveWire BSP akan diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), dan setakat ini, hampir 20 orang terutamanya kalangan belia-belia kampung sudah mendaftar termasuk para peserta kursus jahitan hari ini.

“Melibatkan penduduk dengan latihan-latihan kemahiran dan meningkatkan pengetahuan dihasratkan untuk membukakan peluang mereka supaya mampu dan mempunyai keyakinan menembusi bidang perniagaan tempatan, dan mampu bersaing dengan pasaran yang ada pada masa ini, seperti pasaran jahitan yang majoritinya telah dipelopori oleh warga asing,” kata Awang Hassan.

Dayang Shayida Salmi (tiga kanan) menunjukkan kepada para peserta bagaimana memotong kain dengan cara yang betul.
Dayang Shayida Salmi (tiga kanan) menunjukkan kepada para peserta bagaimana memotong kain dengan cara yang betul.

Selain itu, MPK STKRJ Lorong Tiga juga sudah mengatur langkah untuk melaksanakan Skim Perkembangan Kampung yang dijangka akan dimulakan pada bulan Oktober depan dengan tajaan Radio Televisyen Brunei.

Katanya, skim itu juga dilihat telah mendapat sambutan yang positif oleh kalangan penduduk terutama belia-belia yang baru lepas sekolah dan yang belum mempunyai pekerjaan tetap.

“Inisiatif lainnya, yang kami lakukan ialah dengan mewujudkan hubungan melalui kemudahan media sosial seperti WhatsApp dan blog, untuk terus memaklumkan kepada penduduk kampung, supaya tidak melepaskan peluang menyertai apa juga kursus yang dibukakan untuk penyertaan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di daerah ini dan juga di daerah lainnya,” ujarnya.

Kursus Menjahit Pakaian Moden dan Menjahit Shawl merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat IBTE Kampus SVSB yang antara lain bertujuan untuk membukakan peluang pesertanya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi membantu menjana pendapatan keluarga, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat sekeliling.

Dalam kursus itu, para peserta turut diajar menggunakan kemahiran jahitan sebagai nilai tambah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dan pada akhir kursus, peserta akan dapat membuat pakaian dan shawl dengan teknik yang betul dan boleh menarik minat pelanggan mereka.

Sepanjang kursus lanjutan selama 36 jam bagi belajar membuat pakaian dan enam jam membuat shawl itu, ia dikendalikan oleh tenaga pengajar di kampus tersebut, Penolong Pengajar Teknik, Dayang Shayida Salmi binti Roslan.

ARTIKEL YANG SAMA