Kongsi tip jadi usahawan berwawasan

Kongsi tip jadi usahawan berwawasan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Para pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, mendapat pendedahan lebih mendalam mengenai industri perniagaan sebagai persiapan kepada pembangunan kerjaya mereka menerusi sesi ceramah anjuran Kelab Kebudayaan Jerman UBD yang diadakan di Teater Kuliah Pusat, UBD.

Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh penceramah undangan, Kolja Klawunn yang mengongsi pandangan peribadinya mengenai beberapa faktor utama untuk menjadi usahawan berjaya.

Dalam ceramahnya, beliau juga memberikan galakan kepada pelajar supaya melatih diri menjadi usahawan yang berwawasan dan berupaya memulakan perniagaan yang berjaya.

“Kita tidak dapat merancang semua perkara, maka anda perlu fleksibel,” ujarnya sambil memberikan nasihat dan pandangan mengenai kepentingan melakukan kerja supaya mereka dapat melakukannya dengan cara terbaik, sentiasa bekerja dengan bersemangat dan tidak melakukannya dengan sambil lewa.

Antara ilmu pengetahuan yang paling penting dipelajari oleh peserta ceramah itu ialah beberapa panduan dan tip yang dikongsi Klawunn berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri tentang perlunya seseorang individu itu mempunyai tahap motivasi yang tepat.

Kolja Klawunn ketika menyampaikan ceramahnya kepada para pelajar UBD.
Kolja Klawunn ketika menyampaikan ceramahnya kepada para pelajar UBD.

Ia merupakan prasyarat yang perlu bagi melahirkan asas mental yang kukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan.

Para peserta juga telah ditunjukkan cara untuk menulis dan menyediakan butiran peribadi yang betul bagi permohonan pekerjaan pada masa akan datang.

Kolja Klawunn merupakan Ketua Pegawai Eksekutif National Insurance Company Berhad Brunei serta Pengurus Besar Syarikat Allianz Jerman Asia Tenggara, iaitu peneraju dalam insurans am di Negara Brunei Darussalam.

Kelab Kebudayaan Jerman UBD mula ditubuhkan pada separuh pertama 2015 dan diselia oleh pensyarah Jerman yang menetap di UBD, Dr. Jana Heil Maier, dengan matlamat untuk mendedahkan para pelajar kepada bahasa dan kebudayaan Jerman.

ARTIKEL YANG SAMA