Kongsi trend ...

Kongsi trend terkini dalam pasaran kewangan global

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Sebagai usaha untuk memberikan maklumat yang terkini kepada pelanggan mereka mengenai trend terkini dalam pasaran kewangan global, Baiduri Capital dengan kerjasama Franklin Templeton Investments, menganjurkan seminar pelaburan bertajuk ‘Melabur Merentas Sempadan 2017’, yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Penganjuran seminar itu bukan sahaja merupakan seminar pertama dianjurkan bersama oleh Baiduri Capital dan Franklin Templeton Investments, tetapi juga menandakan pengenalan dana pelaburan Franklin Templeton di Baiduri Capital.

Pengarah Baiduri Capital, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Bank Baiduri terus menganjurkan seminar pelaburan yang meliputi pelbagai topik termasuk matawang, unit trust dan pelbagai jenis produk pelaburan untuk memastikan pelanggan mereka mempunyai maklumat yang terkini serta didedahkan kepada trend pasaran pada masa ini, untuk memberikan kemudahan kepada mereka mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka.

Beliau turut berkata bahawa pada 2016, berlaku beberapa kejadian yang memberikan kesan kepada pasaran kewangan termasuk harga minyak yang rendah dan kejutan Brexit, yang mana semua kejadian itu menyumbang kepada tahun yang tidak menentu.

Walau bagaimanapun, ulasnya, para pakar yakin bahawa tahun 2017 akan menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik dengan ramalan pasaran yang positif.

Di antara pelanggan-pelanggan Baiduri Capital yang menghadiri majlis berkenaan.
Di antara pelanggan-pelanggan Baiduri Capital yang menghadiri majlis berkenaan.
Lisa Leong memberikan penerangan mengenai dana pelaburan Franklin Templeton semasa seminar berkenaan.
Lisa Leong memberikan penerangan mengenai dana pelaburan Franklin Templeton semasa seminar berkenaan.

Oleh itu, dengan Baiduri Capital meraikan ulang tahun pertamanya, Baiduri Capital amat gembira untuk memperkenalkan dana Franklin Templeton kepada pelanggan mereka yang mana mereka mempunyai dedikasi untuk memberikan pengurusan aset yang cemerlang.

Seminar itu disampaikan oleh Pengurus Perniagaan Institusi, Templeton Asset Management Limited Singapura, Lisa Leong di mana beliau mengongsi tiga jenis dana pelaburan utama Franklin Templeton berkaitan dengan mata wang dan saham.

Dalam seminar itu juga, beliau menunjukkan bagaimana setiap strategi mampu memberikan prestasi yang berbeza dalam pelbagai bidang yang boleh diteroka oleh pelabur-pelabur di pasaran domestik.

Turut hadir di seminar itu ialah Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon dan perancang-perancang kewangan kanan daripada Baiduri Capital.

ARTIKEL YANG SAMA