Kongsi usaha banteras kemiskinan di ASEM

Kongsi usaha banteras kemiskinan di ASEM

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Usaha dan inisiatif Negara Brunei Darussalam untuk memberikan latihan kepada golongan miskin bagi meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka mampu untuk memperoleh kemahiran untuk mencari pekerjaan atau memulakan perusahaan sendiri serta berdikari akan diketengahkan dan dikongsi semasa Minggu Belia Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) oleh delegasi Negara Brunei Darussalam yang akan membentangkan usaha negara dalam membantu golongan yang memerlukan negara.

Perkara itu dijelaskan oleh ketua delegasi Brunei ke Minggu Belia ASEM yang juga Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Fakhriah binti Dato Seri Setia Haji Lamit dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Minggu Belia ASEAN bersempena dengan Model ASEM yang akan diadakan di Hanoi, Vietnam bermula 31 Mac hingga 7 April, mempunyai tema utama mengenai pembasmian kemiskinan,di mana para peserta dari negara-negara yang menyertai acara itu akan berkongsi mengenai usaha, program atau inisiatif yang dilaksanakan dalam membantu golongan miskin untuk keluar daripada kancah kemiskinan.

Beliau berkata semasa minggu belia itu, para peserta bukan sahaja akan menghadiri sesi perbincangan dan plenari tetapi mereka juga akan menyampaikan ucapan ringkas selama tiga minit dari setiap negara anggota ASEM.

Bagi Brunei, beliau akan memberikan penerangan mengenai usaha, program dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memberikan latihan dan kemahiran supaya mereka mampu berdikari serta tidak hanya terus mengharapkan bantuan semata-mata tetapi akan berusaha untuk berdiri sendiri dan memperbaiki kehidupan mereka.

Awang Faisal (kiri) bergambar ramai bersama Dayang Fakhriah (tiga dari kiri) dan Dayang Najihah Kamilah (dua dari kanan) sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam.
Awang Faisal (kiri) bergambar ramai bersama Dayang Fakhriah (tiga dari kiri) dan Dayang Najihah Kamilah (dua dari kanan) sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam.

Semasa Minggu Belia ASEM itu, Brunei akan diwakili oleh dua orang peserta yang diketuai oleh Dayang Fakhriah dan seorang penuntut dalam jurusan Media dan Komunikasi Profesional, Universiti Brunei Darussalam, Dayang Najihah Kamilah binti Haji Mohd Rosellan.

Dayang Fakhriah juga menyatakan harapan melalui penyertaan Brunei dalam minggu belia itu, mereka mampu untuk berbincang dan mempelajari daripada peserta-peserta negara-negara ahli ASEM yang lain, usaha, inisiatif atau program yang dijalankan oleh mereka dalam menangani masalah kemiskinan dan kaedah yang terbaik untuk membantu dan memperkasakan mereka untuk berdikari.

Manakala itu, Dayang Najihah Kamilah berkata bahawa beliau telah banyak membuat penyelidikan mengenai usaha dan program yang dilaksanakan oleh Brunei untuk menangani isu kemiskinan serta berharap untuk mengongsi dengan para peserta lain mengenai Wawasan 2035.

Semasa minggu belia itu, para peserta juga akan mengadakan lawatan dan menyaksikan sendiri sebuah model kegiatan efektif menangani masalah kemiskinan di Vietnam dan melawat sebuah sekolah bagi kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

Hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat berlepas dan memberikan kata-kata nasihat kepada delegasi Brunei ke Minggu Belia ASEAM ialah Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Awang Faisal bin Yunos, pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan serta ahli-ahli keluarga para delegasi.

Semasa program selama lapan hari itu, para peserta akan berpeluang untuk meningkatkan lagi kefahaman berhubung dengan kerjasama Asia-Eropah dan proses-proses ASEM serta memainkan peranan Ketua ahli ASEM dalam membincangkan mengenai isu-isu politik, ekonomi dan sosiobudaya.

Di samping itu, melalui penyertaan mereka dalam pelbagai kegiatan yang diadakan sepanjang minggu belia itu, para peserta diharap dapat memperoleh kemahiran dalam bidang rundingan, diplomasi dan permuafakatan.

ARTIKEL YANG SAMA