Konsep hiasan alam mampu berikan ketenangan

Konsep hiasan alam mampu berikan ketenangan

MENCARI ketenangan jiwa dengan cara paling santai setentunya memerlukan suasana persekitaran penuh inspirasi.

Tenang dalam erti kata sebenar sambil mendengar alunan muzik lagu Melayu asli sekali gus mengimbau kenangan silam yang mengusik jiwa.

Alunan irama muzik tradisional Melayu asli yang sangat lembut dan mendayu-dayu ditambah lagi dengan terapan konsep alam semula jadi setentunya dapat menzahirkan rasa ketenangan bagi setiap mata yang melihat dan telinga yang mendengarnya.

Kebanyakan bahan asli seperti kayu hutan boleh dijadikan meja makan, meja kayu, tangga kayu antik dan sebagainya.

Tambah menarik sekiranya perabot itu tidak dicat semula, sebaliknya hanya ‘mengetam’ sehingga licin untuk mengelak tercucuk selumbar bagi memberikan penampilan yang lebih berunsurkan alam semulajadi.

Keunikan meja makan yang diperbuat daripada kayu cengal.
Keunikan meja makan yang diperbuat daripada kayu cengal.

Ternyata perbezaan perabot ini menjadi daya penarik pengunjung yang jelas mahu ia dikekalkan bersesuaian dengan konsep yang diketengahkan iaitu kembali kepada alam..

Berdindingkan susunan batang pokok tembesu, potongan kayu papan tebal dan beberapa lukisan, jelas boleh menunjukkan kesungguhan dalam menyatukan alam dan manusia.

Konsep inilah yang mahu diterapkan kepada generasi muda hari ini supaya lebih menghayati keunikan dan khazanah alam semula jadi yang dipandang sepi.

Tidak cukup dengan itu, kayu terbuang berbentuk keris, senapang dan ikan turut boleh menjadi hiasan ruang santai yang turut menempatkan kerusi rotan di bahagian dalam.

Beberapa barangan logam dan tembaga seperti seterika lama, bekas acuan kuih dan ukiran kayu yang mempunyai sentuhan seni ukir halus diletakkan pada sudut menarik dalam ruang rehat berkenaan.

Ruang rehat berkonsep santai juga sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi untuk menjalankan aktiviti yang bersesuian dengan konsep alam dan manusia.

Malah masyarakat terutama generasi muda hari ini turut berpeluang untuk menghayati dan menikmati adat resam, seni budaya Melayu nusantara supaya tidak lapuk ditelan zaman.