Konsep pangkalan laut M’sia tarik minat negara luar

Konsep pangkalan laut M’sia tarik minat negara luar

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pengubahsuaian kapal kargo dan pelantar minyak syarikat swasta sebagai Pangkalan Laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah di sempadan perairan Sabah dan selatan Filipina, menarik minat pihak luar.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata konsep pengubahsuaian kapal dan pelantar minyak sebagai pangkalan hadapan adalah yang pertama diwujudkan di dunia.

“Ia adalah idea kreatif kerajaan Malaysia dengan kerjasama Petronas dan belum ada mana-mana negara yang melaksanakannya lagi.

“Selepas beroperasi pada pertengahan tahun ini, pangkalan hadapan itu telah menarik minat negara lain untuk mengetahui bagaimana kita dapat melakukannya,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program ‘Helo Malaysia’ di Bernama TV, di sini semalam.

Kedua-dua pangkalan itu menempatkan anggota tentera, helikopter, dron, bot pemintas dan ‘unmanned aerial vehicle’ (UAV) bagi menjaga keselamatan perairan negara.

Jeneral Tan Sri Zulkifeli (kanan) ketika hadir bagi sesi temubual khas bersama BERNAMA TV di Wisma Bernama semalam. – Bernama
Jeneral Tan Sri Zulkifeli (kanan) ketika hadir bagi sesi temubual khas bersama BERNAMA TV di Wisma Bernama semalam. – Bernama

Zulkifeli berkata kedua-dua pangkalan laut itu merupakan sumbangan Petronas, dan kerajaan tidak mengeluarkan perbelanjaan bagi membina kedua-dua pangkalan tersebut.

“Proses ubah suai kedua-dua pangkalan hadapan itu dilakukan sepenuhnya oleh Petronas, dan ATM hanya terlibat dalam mengendalikan pangkalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata keperluan pangkalan hadapan itu berdasarkan beberapa kejadian jenayah penculikan dan insiden pencerobohan melibatkan keselamatan negara yang berlaku sebelum ini.

Dengan adanya kedua-dua pangkalan hadapan tersebut, ATM berupaya mengesan dan memintas sebarang aktiviti jenayah maritim, katanya.

“Selain untuk tujuan pertahanan, kedua-dua pangkalan hadapan tersebut boleh diguna sebagai tempat persingahan kapal milik TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) mahupun APMM (Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia) bagi mendapat bekalan minyak ataupun makanan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pangkalan hadapan tersebut akan ditauliahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata ATM bercadang membeli Multi-Role Support Ship (MRSS) untuk tujuan pengangkutan.

“MRSS merupakan kapal pelbagai guna dan boleh mengangkut anggota ATM, peralatan serta sistem yang ATM ada,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA