Konsert Amal Roots & Wings bantu kumpulkan dana

Konsert Amal Roots & Wings bantu kumpulkan dana

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Bagi membantu dan menyokong bakat-bakat tempatan di samping mengumpulkan dana untuk disumbangkan, Konsert Amal Roots and Wings akan diadakan pada 17 September ini.

Perkara tersebut telah dijelaskan pada sidang media konsert amal tersebut hari ini yang telah berlangsung di Fitness Zone cawangan Kiulap di mana sebahagian daripada penghibur kebanggaan Brunei terdiri daripada pelajar-pelajar Lily Chiam, Maria Koh, penari Balet dan banyak lagi akan menghiburkan orang ramai.

Semua penghibur berkenaan akan berkumpul dengan matlamat untuk mengumpul dana bagi Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) dan La Vida, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan untuk menjadi pusat sumber keluarga dan menghubungkan ibu bapa bersama profesional yang mengambil berat tentang kanak-kanak berkeperluan khas.

Hadir pada sidang media berkenaan bagi majlis penandatangan penajaan ialah penaja utama acara berkenaan, Boustead Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus Operasi Kanan Sumber-Sumber Manusia dan Perkhidmatan Pelanggan, Helen Wong Wui Yong. Manakala menandatangani bagi pihak pengurus pemasaran ialah Dato Paduka Lim Beng Thai dan Alvin Koh; manakala duta bagi konsert berkenaan ialah Pengarah Pengurusan Fitness Zone Wu Chun; ‘Chairlady’ konsert berkenaan, Cynthia Bong Dawn Lee daripada SOBD dan juga Pengasas La Vida, Shelley Busque serta Pengarah konsert berkenaan, Marietta Del Mar.

Antara yang hadir pada sidang media dan juga majlis penandatanganan tersebut.
Antara yang hadir pada sidang media dan juga majlis penandatanganan tersebut.

Wu Chun dalam kenyataan akhbar berkata, ”Secara peribadi, ini akan menjadi salah satu projek yang bermakna bagi saya di negara ini. Ia juga adalah salah satu impian saya, selain daripada memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan kita untuk memperlihatkan kekuatan mereka, menyalurkan melalui acara kebajikan. Kami juga dapat menggunakan hiburan dan semangat dalam muzik dan seni untuk mendekati orang ramai bagi tujuan yang baik.”

Manakala wakil dari Boustead dalam kenyataannya berkata, “Boustead Sdn Bhd telah membuat keputusan untuk menyokong acara berkebajikan ini buat kali pertamanya di mana acara ini memberikan sesuatu kebaikan yang bermakna yang bukan sahaja menyumbang kepada tujuan yang baik untuk masyarakat tempatan kita dengan membantu mereka, tetapi juga melambangkan usaha kami untuk membuat perbezaan dalam kehidupan orang lain.”

ARTIKEL YANG SAMA