Konsert High Note gabungkan tiga suara hebat

Konsert High Note gabungkan tiga suara hebat

KUALA LUMPUR – ‘Konsert High Note’ yang menggabungkan tiga suara hebat – Ziana Zain, Azlan Typewriter dan Jaclyn Victor – akan diadakan mulai 25 hingga 27 November ini, pada 8 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kehebatan vokal ketiga-tiga penyanyi bakal diuji melalui konsert ini kerana hampir kesemua lagu yang akan dipersembahkan adalah bernada ‘high pitch.’

“Sebenarnya idea untuk konsert ini tercetus daripada Azlan Typewriter, lalu kami berbincang selama lebih kurang dua hingga tiga bulan sebelum akhirnya mencapai kata sepakat,” Kata Ziana pada sidang media di Istana Budaya baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Menurut Ziana, “Kami telah menyerahkan senarai hits lagu-lagu kami kepada pengarah muzik Rudi Mohammad untuk mendapatkan nasihat beliau.Lagu-lagu yang dipilih juga akan digubah semula supaya sesuai dengan cerita dan gimik yang bakal kami lakukan.”

Tiga suara hebat (dari kiri) Azlan Typewriter, Ziana Zain dan Jaclyn Victor bakal gegarkan Istana Budaya 25-27 November ini.
Tiga suara hebat (dari kiri) Azlan Typewriter, Ziana Zain dan Jaclyn Victor bakal gegarkan Istana Budaya 25-27 November ini.

Konsert yang pernah dijayakan oleh Rudi termasuk Rockestra tv9 dan Cuci The Musical yang diadakan di Istana Budaya.

Antara lagu-lagu hits yang bakal dipersembahkan mereka termasuk Riwayat Cinta, Anggapanmu, Lagu Untukmu, Gemilang dan banyak lagi yang dijangka memberi impak dan kepuasan kepada peminat. Peminat Ziana khususnya merindui beliau untuk beraksi di pentas berprestiji seperti Istana Budaya.

Di samping itu, ‘Konsert High Note’ juga merupakan konsert terakhir tahun 2016 di Istana Budaya sebelum ditutup untuk jangka masa yang panjang bagi tujuan pengubahsuaian.

Penganjur konsert yang menelan belanja lebih RM500,000 ini, DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagro, berharap konsert ini mendapat sambutan hebat dari para peminat Malaysia, Brunei, Singapura dan juga Indonesia. Pihak penganjur turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak penaja yang berminat untuk menaja konsert itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA