Konsert Menara Eiffel buka tirai Euro 2016

Konsert Menara Eiffel buka tirai Euro 2016

PARIS, 10 Jun – Perancis membuka tirai kempen Euro 2016 dengan mengadakan konsert terbuka di Menara Eiffel, dengan Presiden Perancis, Francois Hollande memberi jaminan kejohanan itu akan berjalan lancar biarpun wujud kebimbangan mengenai serangan daripada pihak pengganas.

Kawalan keselamatan diperketat dengan DJ Perancis, David Guetta membuat persembahan di hadapan 80,000 penonton di kaki mercu tanda paling popular di Paris itu dalam apa yang dilihat sebagai cabaran utama bagi memastikan kawalan keselamatan terjamin.

Kemuncaknya dengan perlawanan pembukaan antara Perancis dengan Romania yang akan berlangsung di Stade de France satu daripada gelanggang yang menjadi serangan pengganas sehingga mengakibatkan 130 orang terbunuh pada November lalu.

Kerajaan Perancis bertekad untuk memastikan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah tetapi sebelum berlangsungnya kejohanan berprestij Eropah empat tahun sekali itu, ia dicemari dengan protes reformasi buruh.

Suasana indah ketika konsert itu diadakan di kawasan Menara Eiffel di Paris. – AFP
Suasana indah ketika konsert itu diadakan di kawasan Menara Eiffel di Paris. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Ratusan ribu penyokong mula membanjiri Paris menjelang sepak mula Euro, semalam namun mogok kakitangan kereta api kini berterusan ke hari kesembilan dan beg sampah isi rumah bertaburan di jalan-jalan di ibu negara Perancis itu.

Pekerja kereta api mengancam untuk menjejaskan perkhidmatan itu menjelang aksi sulung di Stade de France.

Hollande memberi amaran kerajaan sudah bersedia sepenuhnya untuk mengambil tindakan yang dirasakan perlu bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada semua pihak.

“Saya akan memberi perhatian yang serius esok (hari ini) dan jika keputusan perlu dibuat, ia akan dibuat. Seluruh Eropah akan melihatnya,” kata Hollande.

Dengan ancaman serangan pengganas tetap menjadi kebimbangan utama, kerajaan sudah mengerahkan seramai 90,000 pihak polis dan pengawal keselamatan swasta untuk memastikan kawalan keselamatan terjamin. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA