Konsisten kunci kejayaan XN FT

Konsisten kunci kejayaan XN FT

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – “Bola itu bulat dan apa saja pun boleh berlaku dalam perlawanan dan pastinya pasukan yang siap siaga dengan strategi yang tersusun pasti akan menguasai mana-mana perlawanan.”

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pasukan XN FT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin ketika dihubungi bagi mengulas kemenangan mereka dalam rebutan Piala Sumbangsih ketika menewaskan Pasukan Kementerian Pembangunan (MOD).

“Bukan bererti kami banyak pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan kami akan menerajui liga kerana sukan ini memerlukan perhatian dan fokus kepada perlawanan dan ia sebagai penentu keputusan pada tiupan wisel terakhir” ujarnya lagi.

Pasukan XN FT akan bersaing dalam sasaran Piala Presiden kali ke-4 selain turut menyimpan sasaran kepada Piala FA dengan membuat persiapan dan latihan yang sewajarnya meskipun tugas berat bakal dihadapi XN untuk mengekalkan kejuaraannya musim lalu.

Pengiran Isa ketika beraksi di padang bersama XN FT yang akhirnya menumpaskan Pasukan MOD untuk menjulang Piala Sumbangsih 2016.
Pengiran Isa ketika beraksi di padang bersama XN FT yang akhirnya menumpaskan Pasukan MOD untuk menjulang Piala Sumbangsih 2016.

Menurut Pengiran Isa, konsisten merupakan tonggak utama bagi meraih kejayaan dan membariskan pasukan seperti Al-Idrus, M.O.D dan BSRC akan menjadi pencabar yang paling digeruni sebelum beraya menjulang piala nanti.

“20 pasukan yang bakal bersaing tidak lama lagi mempunyai kekuatan, kelebihan dan pelan perlawanan masing-masing dan ia menjadikan persaingan kali ini lebih sengit dan mencabar dan ia sekali gus meningkatkan tahap perlawanan di negara ini ke arah yang hasratkan,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengenai kejayaan ke atas Pasukan MOD, menurut Pengiran Isa MOD bukan pasukan yang calang-calang kerana padanya jika MOD dapat melaksanakan visi jurulatihnya pasti laluan ke piala bukan suatu yang mudah.

Mengenai jaringannya pula, Pengiran Isa menyatakan rasa tidak menyangka kerana berjaya menanduk masuk bola ke gawang MOD pada babak pertama perlawanan tempoh hari di Kompleks Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

“XN FT kini menampilkan muka baru apabila berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain MS PDB, Awang Mohd Nadzrin bin Abdullah dan juga Awang Shahrin bin Momin dari Liga Super DST sebagai pelengkap kepada pasukan.

Menurutnya lagi, XN FT adalah pasukan yang berbakat besar dengan memastikan pemain yang di bangku simpanan juga pemain yang boleh memikul tanggungjawab pada setiap perlawanan dan menegaskan sesiapa saja dalam kejohanan boleh menang dan sekali gus menjulang mana-mana piala yang dianjurkan dengan jayanya.

ARTIKEL YANG SAMA