Konsortium bas awam akan ditubuh

Konsortium bas awam akan ditubuh

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Kementerian Perhubungan sedang mempertimbangkan saranan untuk menubuhkan sebuah konsortium bas pengangkutan awam dalam usahanya untuk melancarkan dan mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan bas awam di sekitar ibu negara.

Cadangan itu yang ketika ini sedang dalam proses dialog dan perbincangan dengan syarikat dan koperasi pengangkutan awam di ibu negara berpunca daripada maklum balas dan cadangan yang diperoleh kementerian berkenaan daripada orang ramai.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat berkata, cadangan itu timbul ekoran hasrat untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi sistem pengangkutan awam di negara ini dan antara cadangan itu ialah dengan menubuhkan sebuah konsortium.

“Ini kerana sistem perhubungan awam di negara ini masih belum terkawal dan teratur di bawah satu badan yang seharusnya mengawal perkhidmatan yang diberikan oleh perkhidmatan bas awam.

Menteri Perhubungan meninjau ruang dalaman bas lantai rendah itu yang dilancarkan.
Menteri Perhubungan meninjau ruang dalaman bas lantai rendah itu yang dilancarkan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa melancarkan bas awam lantai rendah.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa melancarkan bas awam lantai rendah.
Menteri Perhubungan bergambar ramai dengan warga Koperasi Tasamul Kampung Lumapas dan tetamu lain.
Menteri Perhubungan bergambar ramai dengan warga Koperasi Tasamul Kampung Lumapas dan tetamu lain.

“Maka, dengan tertubuhnya konsortium itu akan membolehkan kerajaan melibatkan diri dalam sektor ini dengan harapan sistem pengangkutan awam dapat disusun rapi terutamanya dari segi disiplin,” katanya ketika ditemu bual pada Majlis Pelancaran Dua Bas Awam Lantai Rendah Koperasi Tasamul Mukim Lumapas Berhad di Cawangan Pengangkutan Koperasi Tasamul Kampung Lumapas, hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menjelaskan, orang ramai rata-ratanya mengharapkan sistem bas awam di negara ini sentiasa ada, boleh dipercayai, tepat pada waktu dan frekuensinya dan paling penting, supaya laluan bas pengangkutan awam menuju ke tempat-tempat yang strategik seperti sekolah, hospital, lapangan terbang dan ke pusat-pusat perniagaan.

Ketika ditanya jumlah syarikat yang menyahut cadangan penubuhan konsortium itu, beliau menjelaskan pihak kementeriannya belum lagi memutuskan jumlah syarikat dan koperasi yang akan menyertai konsortium tersebut, tetapi mengesahkan peranan konsortium itu akan dibincangkan sama ada ia dijadikan badan autoriti atau sub kontraktor atau hanya penyedia khidmat pengangkutan awam.

Menurutnya lagi, kerajaan akan berperanan sebagai pengawal selia harus memastikan semua peraturan berkaitan bas pengangkutan awam adalah teratur dan dipantau dari segi ekonominya akan dikaji dari segi untung rugi dan laluan-laluan yang diliputi.

Ujarnya lagi, “Mungkin konsortium ini tidak berperanan sebagai penentu dasar kerana itu adalah bidang kuasa kerajaan, sebaliknya dari segi operasi dan sebagai sub kontraktor dengan menyediakan bas-bas yang standardnya ditentukan oleh pihak kerajaan tanpa perlu memikirkan tentang penyelenggaraan bas berkenaan”.

Beliau juga menegaskan, laluan-laluan bas pengangkutan awam yang terdapat pada masa ini juga akan dikaji semula kerana berdasarkan sistem laluan bas pada masa ini yang merentas laluan lain untuk sampai ke destinasi, cadangan juga merangkumi pembinaan satu terminal persilangan pusat bas pengangkutan awam yang membolehkan setiap bas awam bertumpu di terminal pusat untuk menurun dan mengambil penumpang dengan efisien.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Koperasi Tasamul Kampung Lumapas, Haji Ibrahim bin Haji Kamis, kedua-dua bas pengangkutan awam itu adalah yang ke-21 dan 22 dalam armada bas pengangkutan awam milik Koperasi Tasamul yang pada masa ini mempunyai 14 buah bas pengangkutan awam Laluan Selatan dan enam buah bas pelancongan.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan pelancaran bas awam lantai rendah dan doa selamat, sebelum tetamu kehormat dibawa melihat bentuk dalaman bas berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi.

ARTIKEL YANG SAMA