Konsortium gali telaga gas baru

Konsortium gali telaga gas baru

BAITULMUQADDIS, 3 Julai – Sebuah konsortium yang diketuai oleh firma Amerika Syarikat (AS), Noble Energy telah meluluskan projek AS$265 juta untuk mengorek telaga baru di medan gas cecair asli besar luar Israel, menurut para pegawai hari ini.

Syarikat-syarikat Israel, Delek Drilling dan Avner Oil Exploration, adalah sebahagian daripada rakan kongsi yang diketuai oleh Noble, mengumumkan pembiayaan itu bagi medan Tamar di Mediterranean.

“Rakan kongsi Tamar telah memutuskan untuk meluluskan bajet sekitar AS$265 juta bagi penggerudian ‘Tamar 8’ dan menghubungkannya dengan infrastruktur yang ada di medan Tamar,” menurut kenyataan bersama Delek dan Avner.

Katanya, telaga terbaru itu akan membolehkan ‘pembekalan maksimum dari medan Tamar semasa waktu-waktu permintaan meningkat, berdasarkan isi padu pengeluaran dari Tamar dan medan minyak yang ada dan menjangkakan permintaan tinggi bagi gas cecair asli dari medan tersebut’.

Tamar 8, telaga penghasilan keenam medan itu, terletak kira-kira 100 kilometer di luar pesisir dan boleh mencapai kedalaman kira-kira 3.5 km di bawah dasar laut, katanya.

Penggerudian itu dijangka akan bermula pada suku terakhir tahun ini.

Penyiapan telaga dan penyambungannya kepada rangkaian paip yang ada itu dijangka akan mengambil masa empat bulan, tambah kenyataan itu lagi. Medan Tamar ditemui pada 2009 dan mula pengepaman minyak pada 2013.

Ia terletak kira-kira 130km luar bandar pelabuhan Haifa, Mediterranean dan memiliki anggaran simpanan kira-kira 238 bilion meter padu (8.4 trilion kaki padu).

Hasil gasnya sejauh ini telah digunakan bagi bekalan domestik sekitar Israel.

Konsortium yang diketuai AS itu juga membangunkan medan gas Leviathan terbesar Israel dan berhasrat untuk mengoperasinya pada tahun 2019.

Israel berharap pembangunan Leviathan akan membolehkan ia untuk mengeksport gas, yang boleh membantu melancarkan diplomasi serantau.

Leviathan yang ditemui pada 2010, dianggarkan memiliki 18.9 trilion kaki padu (535 bilion meter padu) gas cecair asli, di samping 34.1 juta tong hasil kondensasi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA