Konsulat AS di Turki kena serang

Konsulat AS di Turki kena serang

ISTANBUL, 10 Ogos (AFP) – Bandar terbesar Turki, Istanbul hari ini digegarkan dengan insiden serangan berkembar ke atas konsulat Amerika Syarikat dan sebuah balai polis tatkala ketegangan merebak di tengah-tengah kempen udara kerajaan ke atas militan Kurdish.

Seorang suspek pengebom bunuh diri meletupkan sebuah kenderaan yang dipenuhi bahan letupan di sebuah balai polis di daerah Sultanbeyli di kawasan Asia bandar Istanbul sejurus selepa setengah malam, mencederakan 10 orang, tiga daripada mereka anggota polis, lapor agensi berita rasmi Anatolia.

Pertempuran dengan polis kemudian berterusan sepanjang malam ketika anggota militan lain melepaskan tembakan ke arah balai polis.

Pada awal pagi, dua anggota militan dibunuh pasukan polis tetapi kaitan politik mereka masih belum dapat dipastikan.

Seorang anggota polis turut terbunuh dalam pertempuran, kata televisyen NTV, tetapi ia masih belum disahkan secara rasmi.

Aksi anggota komando polis Turki ketika menangani krisis serangan ke atas konsulat AS dan sebuah balai polis di daerah Sultanbeyli di Istanbul pada 10 Ogos 2015. – AFP
Aksi anggota komando polis Turki ketika menangani krisis serangan ke atas konsulat AS dan sebuah balai polis di daerah Sultanbeyli di Istanbul pada 10 Ogos 2015. – AFP

Sementara itu, dua individu bersenjata awal hari ini melancarkan serangan ke atas bangunan konsulat Amerika Syarikat di daerah Istinye di Bosphorus di pinggir Istanbul, lapor televisyen Turki.

Operasi dilancarkan untuk memberkas dua anggota militan, seorang daripadanya wanita. Salah seorang penyerang, dilaporkan wanita, kemudian diberkas dalam keadaan cedera, kata media Turki.

Sama ada pihak media atau pihak berkuasa masih belum dapat memastikan siapa yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.