Kontinjen Brunei berlepas ke Jakarta

Kontinjen Brunei berlepas ke Jakarta

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Persatuan Bola Lisut Amatur Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Amateur Softball and Baseball Association – BASBA) sekali lagi menghantar pasukan lelaki dan pasukan perempuan bagi menyertai Softball Masters 2016 di Jakarta, Indonesia.

Sehubungan dengan itu, rombongan yang terdiri daripada 15 atlet lelaki, 15 atlet perempuan dan empat orang pegawai itu telah selamat berlepas meninggalkan negara pagi ini.

Hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyerahkan bendera kebangsaan dan mengucapkan selamat berjaya kepada rombongan ialah Naib Presiden BASBA, Pengiran Jambul bin Pengiran Sulaiman.

Ia merupakan penyertaan kali ketiga negara dalam kategori lelaki berusia 40 tahun dan ke atas.

Mereka terdiri daripada 15 orang pemain dan dua orang pegawai diketuai oleh Pengurus Pasukan, Dayangku Norleilawati bin Pengiran Haji Mohd Salleh.

Pengiran Jambul (tengah) ketika menyerahkan bendera negara kepada Brunei Masters lelaki dan Brunei Masters perempuan yang akan menyertai Softball Masters di Jakarta, Indonesia
Pengiran Jambul (tengah) ketika menyerahkan bendera negara kepada Brunei Masters lelaki dan Brunei Masters perempuan yang akan menyertai Softball Masters di Jakarta, Indonesia

Manakala bagi pasukan perempuan dalam kategori perempuan berumur 35 tahun dan ke atas itu pula merupakan penyertaan kali kedua negara. Pasukan itu turut mengandungi seramai 15 atlet dan dua pegawai.

Dayangku Norleilawati ketika ditemubual menyatakan bahawa kejohanan itu akan berlangsung selama empat hari iaitu pada 28 hingga 31 Julai ini di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta Tengah, Indonesia.

Menurutnya, Pasukan Brunei Masters Lelaki akan melalui perlawanan liga satu pusingan bersama lima pasukan lain iaitu Malaysia, Indonesia (juara bertahan), Thailand, Jepun dan Singapura.

Selesai aksi liga berkenaan, dua pasukan teratas akan bertemu sekali lagi di perlawanan akhir bagi menentukan juara sementara pasukan di tempat ketiga dan keempat akan berentap bagi menentukan pemenang tempat ketiga, jelasnya.

Penolong Pengurus Pasukan (lelaki), Mohamed Idris semasa temubual itu mengongsikan bahawa Brunei Masters Lelaki akan bermain dua kali pada 28 Julai bermula dengan menentang Thailand dan kemudiannya Malaysia.

Pada 29 Julai mereka akan bertemu dengan Singapura, sebelum menamatkan pusingan liga dengan melawan Indonesia dan Jepun pada 30 Julai. Pada 31 Julai pula akan diadakan dua perlawanan iaitu final dan penentuan tempat ketiga, kongsinya lanjut.

Ketua Jurulatih dan pemain Brunei Masters lelaki, Haji Sofian bin Haji Hamdan ketika ditanya mengenai matlamat pasukan, beliau

menegaskan mereka ingin mencapai pingat emas, atau sekurang-kurangnya mara ke final.

Menurutnya tahun lalu Brunei Masters Lelaki berjaya memenangi tempat ketiga selepas mengalahkan Singapura dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. Juara dimenangi oleh Indonesia manakala Hong Kong tampil selaku naib juara, tambahnya.

Peluang mara ke final cukup cerah memandangkan finalis yang tewas tahun lalu, Hong Kong, tidak menyertai kejohanan tahun ini, ujarnya sambil mengimbas kembali pada tahun lalu mereka hanya tewas kepada Indonesia dan Hong Kong semasa pusingan liga.

Brunei Masters perempuan pula hanya akan bersaing dengan tiga pasukan lain iaitu Indonesia (juara bertahan), Thailand dan Singapura dalam format liga dua pusingan, dengan dua pasukan teratas akan bertemu di final, manakala tempat ketiga dan keempat bertemu di perlawanan penentuan tempat ketiga.

Ketua Jurulatih Brunei Masters Perempuan, Merdinata bin Haji Suhaili menjelaskan mereka akan menentang Thailand dan Singapura pada 28 Julai, disusuli menentang Indonesia dan Thailand sekali lagi pada 29 Julai, dan kemudiannya berlawan dengan Singapura dan Indonesia buat kali kedua pada 30 Julai.

Dua perlawanan penutup iaitu final dan penentuan tempat ketiga dijadualkan berlangsung pada 31 Julai, beritahunya lanjut.

Beliau menyatakan mensasarkan kelompok tiga terbaik dan pencapaian itu tidak mustahil memandangkan pasukannya telah berlatih empat kali seminggu dalam masa tiga bulan kebelakangan termasuk dalam bulan Ramadan.

ARTIKEL YANG SAMA