Kontinjen ISB berlepas ke Pulau Pinang sertai Kejohanan FOBISIA

Kontinjen ISB berlepas ke Pulau Pinang sertai Kejohanan FOBISIA

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Seramai 49 kontinjen Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) yang terdiri daripada tujuh tenaga pengajar dan 42 pelajar, hari ini berlepas ke Pulau Pinang bagi mewakili Brunei Darussalam dalam kejohanan Persatuan Kumpulan Sekolah Antarabangsa British di Asia di bawah umur 11 tahun (FOBISIA) selama empat hari.

Kejohanan anjuran bersama Sekolah Rendah Antarabangsa St. Christopher Pulau Pinang itu disertai oleh tujuh buah sekolah antarabangsa dari seluruh Asia termasuk China, Thailand dan Malaysia.

Menurut ketua jurulatih ISB, Jodie Fletton, peserta ISB akan menyertai acara dalam kejohanan renang, olahraga, T-Ball dan bola sepak.

Gambar ramai bersama para kontinjen sebelum berlepas ke Pulau Pinang untuk menyertai Kejohanan FOBISIA.
Gambar ramai bersama para kontinjen sebelum berlepas ke Pulau Pinang untuk menyertai Kejohanan FOBISIA.

“Pengalaman ini bukan sahaja akan memberi pendedahan kepada anak-anak dalam mengenal erti sukan, tetapi juga memberi peluang untuk mereka menjalin persahabatan bersama rakan-rakan dari pelbagai negara di seluruh Asia yang menyertai kejohanan tersebut”, jelasnya lagi.

Fletton turut mengucapkan terima kasih kepada HMR Trust Ltd dan Intermovers (B) Sdn. Bhd. kerana berkesudian memberikan tajaan pakaian seragam kepada para peserta.

Kejohanan FOBISIA 2016 yang diadakan selama empat hari itu akan berakhir pada Sabtu ini, 14 Mei 2016.