Kontinjen Jabatan Penjara berlepas ke Thailand

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Kontinjen yang terdiri daripada seramai 29 orang pegawai dan atlet Jabatan Penjara yang diketuai oleh Pengarah Penjara selaku Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam, Haji Ismail bin Haji Murat telah berlepas menuju ke Hat Yai, Thailand bagi menghadiri Kejohanan Olahraga Penjara-penjara ASEAN.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyempurnakan majlis penyerahan bendera negara kepada ketua kontinjen ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Ajman bin Haji Meludin. Penyertaan itu adalah bermatlamat untuk memberi peluang para atlet untuk bersaing bersama-sama para atlet luar negara bagi mempertingkatkan mutu dan kecemerlangan dalam bidang sukan di negara ini.

Kejohanan dua tahun sekali itu yang diadakan secara bergilir-gilir, bermula hari ini hingga 16 Mac depan diadakan di Tilasulanon Sport Center Songkhla, Thailand.

Sebanyak 23 acara balapan dan padang akan dipertandingkan termasuk sukan golf di Southem Hills Golf & Country Club, Songkhla Province, Thailand.

Kontinjen Jabatan Penjara bergambar ramai sebelum berlepas ke Thailand.

Dalam pada itu, ketua-ketua pengarah penjara dari negara-negara ASEAN selaku ketua delegasi akan menghadiri mesyuarat bagi menjalinkan hubungan kerjasama dan berbincang mengenai hal ehwal kepenjaraan meliputi kursus, latihan, lawatan, pertukaran, perkongsian maklumat dan sebagainya.

Selain daripada itu, para pegawai dan atlet juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke institusi-institusi penjara di negara-negara yang menjadi tuan rumah.

Sementara itu, pada penutupan kejohanan nanti akan menyaksikan majlis penyerahan bendera kepada negara tuan rumah kejohanan tahun 2020 iaitu Jabatan Penjara Negara Brunei Darussalam.