Kontinjen Kem. Pertahanan sertai raptai penuh

Kontinjen Kem. Pertahanan sertai raptai penuh

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Kementerian Pertahanan tidak ketinggalan untuk sama-sama mengambil bahagian dalam Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 yang akan berlangsung pada 23 Februari ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan acara sambutan berkenaan nanti, raptai penuh acara perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan diadakan kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan.

Hadir untuk menyaksikan raptai berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor.

Bagi sambutan 2016, lebih daripada 120 pasukan akan menyertai acara perbarisan lintas hormat di mana 1,132 orang peserta adalah terdiri daripada anggota ABDB.

Pasukan beruniform ABDB yang akan menyertai acara perhimpunan Hari Kebangsaan pada 23 Februari ini.
Pasukan beruniform ABDB yang akan menyertai acara perhimpunan Hari Kebangsaan pada 23 Februari ini.

pg05_160222_b

Sebahagian kontinjen Kementerian Pertahanan yang juga akan menyertai acara perhimpunan Hari Kebangsaan itu nanti.
Sebahagian kontinjen Kementerian Pertahanan yang juga akan menyertai acara perhimpunan Hari Kebangsaan itu nanti.

Menurut kenyataan itu, kontinjen Kementerian Pertahanan juga akan menyertai acara berkenaan di mana kontinjen itu diwakili oleh seramai 150 orang yang diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar.

Turut serta dalam kontinjen berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Perkembangan), Awang Abu Sufian bin Haji Ali, Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Kapten (B) Haji Mohd Amirol Shahnoel bin Haji Mohd Noeh, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan.

Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 membawa tema, Generasi Berwawasan, di mana raptai itu disertai oleh lebih 21,000 orang peserta dengan sebahagian besar dari para peserta adalah golongan belia daripada pelbagai kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, persatuan-persatuan beruniform serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Sebagai generasi pelapis dan pemimpin masa depan, penyertaan golongan belia dalam acara sambutan itu menunjukkan komitmen serta tanggungjawab mereka kepada negara.

ARTIKEL YANG SAMA