Kontinjen negara raih tempat ketiga

Kontinjen negara raih tempat ketiga

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Negara Brunei Darussalam berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan bagi Kejohanan Boling Padang Asia ke-11 Tahun 2015 dan Kejohanan Single Bawah 25 tahun Asia ke-9 Tahun 2016 apabila menyimpul kejohanan dengan satu Pingat Emas, tiga Pingat Perak dan empat Pingat gangsa di Kompleks Boling Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof serta barisan Presiden Persatuan Boling Padang Asia yang juga selaku Ketua Eksekutif Boling Padang Dunia, Garry Smith.

Acara kemudian diikuti dengan penurunan bendera kejohanan dan seterusnya diserahkan oleh Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kepada penganjuran kejohanan yang seterusnya yang bakal diadakan di India pada tahun hadapan.

Skuad wanita negara tampil di tempat ketiga piala keseluruhan bahagian wanita dengan berjaya mengumpul satu Pingat Emas, dua Perak dan tiga Gangsa bagi bawah 25 tahun, sementara skuad lelaki pula tampil dengan satu Perak dan dua Gangsa juga berada di tempat ketiga bagi piala keseluruhan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Skuad Boling Padang Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Skuad Boling Padang Brunei Darussalam.

Antara atlet negara yang berjaya meraih pingat adalah pasukan Fours wanita yang diwakili oleh Hajah Ajijah binti Muntol, Suhana binti Daud, Hajah Amalia binti Haji Matali dan Esmawandy yang berjaya menewaskan Malaysia di peringkat akhir sekali gus meraih Pingat Perak, manakala Pingat Gangsa pula di sandang oleh pasukan dari India dan Hong Kong.

Pemain perseorangan wanita negara, Dayangku Nurul Nabilah binti Pengiran Haji Mohd Salleh Chuchu pula terpaksa akur dengan kekalahan kepada pemain wanita Malaysia pada perlawanan akhir dan sekali gus meraih Pingat Perak di hadapan Hong Kong dan Jepun yang meraih Pingat Gangsa.

Pasangan Pairs Brunei Darussalam Haji Naim bin Brahim dan Mohd Israt Amiruddin bin Haji Abdul Ghani yang tewas pada separuh akhir menerima Pingat Gangsa bersama Singapura di belakang Thailand (Perak) dan Hong Kong (Emas).

Kumpulan Triples lelaki yang diterajui Ampuan Said Ahad bin Ampuan Kassim, Pengiran Haji Tengah bin Pengiran Haji Tajudin dan Abdul Rahman bin Haji Omar pula meraih Pingat Gangsa bersama Macau, ditinggalkan pasukan India dengan pingat perak dan Malaysia yang meraih Pingat Emas.

Tiga Pingat Gangsa pula disumbangkan pemain di bawah 25 tahun di dalam kejohanan ke-9nya apabila dua pemain perseorangan lelaki iaitu Mohd Arif bin Haji Amli dan Mohd Waie tampil dengan Pingat Gangsa di belakang Hong Kong dengan pingat perak dan Malaysia dengan pingat Johan, sementara kumpulan campuran juga memberikan satu gangsa bersama Hong Kong di belakang China dengan Pingat Perak dan Malaysia dengan Pingat Emas.