Kontinjen negara sedia harungi cabaran

Kontinjen negara sedia harungi cabaran

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Pasukan bola jaring negara kini sudah bersedia untuk mengharungi cabaran dalam penyertaan di Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 yang bakal berlangsung bermula 31 Julai 2016 ini nanti.

Sehubungan itu, hari ini telah diadakan majlis penyerahan bendera kepada ketua atlet negara yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu dan seterusnya menyerahkan bendera negara kepada Ketua Pasukan Bola Jaring Kebangsaan, Dayangku Nur Amal Nadhirah binti Pengiran Haji Mohd Ali ialah Yang Di-Pertua Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim. Majlis juga diselajuri dengan penyampaian sijil kepada barisan penaja.

Beliau dalam ucapannya turut menegaskan beberapa cabaran utama persatuan antaranya kewangan, tajaan dan perbelanjaan sebagai cabaran utama, di samping menjelaskan terdapatnya perkembangan dalam sukan bola jaring dengan pengiktirafan tiga orang daripada pengadil baru yang mendapat lencana C daripada persatuan antarabangsa.

Manakala menurut Ketua Jurulatih Skuad Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka ketika ditemui di majlis tersebut, para pemain perlu memberikan tumpuan kepada kejohanan ini dan mengharapkan setiap pemain akan menunjukkan disiplin yang tinggi di sepanjang kejohanan itu nanti dengan menegaskan disiplin bukan sahaja dalam perlawanan malah bagi setiap individu.

Tetamu kehormat ketika menyerahkan bendera kepada ketua pasukan yang akan bertanding di Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 itu nanti.
Tetamu kehormat ketika menyerahkan bendera kepada ketua pasukan yang akan bertanding di Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 itu nanti.

Pada saya semua persediaan rapi berjalan dengan lancar, tinggal lagi pemain untuk memberikan komitmen dan fokus yang berterusan untuk membawa nama negara di dalam kejohanan itu dan para pemain perlu menggunakan perlawanan pertama menentang Afghanistan sebagai peniup semangat dalam kejohanan kali ini.

“Saya tidak bimbang dengan pertukaran dua pemain yang terpaksa menarik diri ekoran komitmen pekerjaan kerana saya yakin pengganti yang dipilih juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan cukup terlatih dan berharap mereka akan menunjukkan pertahanan yang baik dalam penyertaan kita kali ini,” tegasnya lagi.

Beliau ketika ditemui juga menegaskan setakat ini pasukan belia masih belum pasti untuk menyertai kejohanan di Korea bulan hadapan berikutan dengan kesukaran untuk mendapat sebarang tajaan penerbangan.

“Namun saya sudah mengingatkan kepada pemain belia yang bakal mewakili negara di Kejohanan Belia Asia tahun hadapan itu untuk berehat sementara pasukan kebangsaan bertarung di Thailand dan mereka akan memulakan latihan sebaik sahaja kepulangan kami daripada kejohanan itu nanti.”

Skuad kebangsaan sukan bola jaring negara di kejohanan itu akan dibarisi oleh Siti Marhayati binti Ahmad, Siti Nurul Nazihah binti Haji Hassan, Siti Nursyuhaaidah binti Rashid, Nur Syuhaaidah Fahriyana binti Haji Sukri, Syafiq Niqmatullah binti Amran, Nur Aqmal binti Abdul Jamal, Eileen Koh Hin Tian, Nur Ain binti Abdul hamid, Siti Norsaihah binti Mohammad Adi Najmi, Nura Fiqah @ Fatin Najlaa binti Samat dan Noor Zinatul Azimah binti Haji Brahim.

ARTIKEL YANG SAMA