Kontrak baharu Walcott hampir selesai

Kontrak baharu Walcott hampir selesai

LONDON, 27 Julai (AFP) – Pengendali Arsenal, Arsene Wenger mendedahkan pemain sayapnya, Theo Walcott semakin hampir untuk menandatangani kontrak baharu bersama juara Piala FA itu.

Perjanjian semasa Walcott bersama Gunners berakhir hujung musim depan dan perbincangan mengenai penyambungan kontrak jalan buntu sejak beberapa bulan lalu.

Begitupun, ketika ditanya mengenai perkembangan baharu membabitkan Walcott, Wenger mendedahkan pemain berusia 26 tahun itu sudah bersetuju dengan terma perjanjian baharu dengan kontrak selama empat tahun dengan gaji bernilai 100,000 pound seminggu.

“Dia belum menandatangani kontrak baharu ketika ini namun kami semakin hampir dan hampir dan berharap kami dapat menyelesaikannya secepat mungkin,” kata Wenger.

Arsenal mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Jerman, Wolfsburg pada perlawanan Piala Emirates dengan gol tunggal permainan dijaringkan oleh Walcott.

Gol yang dijaringkan pemain kebangsaan England itu hadir selepas dia kembali beraksi di posisi kegemarannya selaku penyerang utama.

Selepas beberapa tahun beraksi di bahagian sayap, Wenger berkata bekas pemain Southampton itu kini bersedia untuk mengemudi jentera serangan Arsenal.

“Saya sentiasa berkata dia adalah penjaring gol kerana dia memiliki kepantasan, gerakan dan matanya untuk mengambil peluang apabila berada di posisinya.

“Saya percaya dia akan menjaringkan gol,” kata Wenger. “Dia mempunyai caranya yang tersendiri. Dia bukannya seorang penyerang yang agresif, dia penyerang serba boleh, dia bergantung kepada kualiti gerakannya.”

Kemenangan ke atas naib juara Liga Jerman, musim lalu melengkapkan minggu ceria Arsenal yang menjulang trofi Piala Emirates di depan penyokong sendiri. Kali terakhir Gunners menjulang trofi sama ialah pada 2010.

ARTIKEL YANG SAMA