Kontrak Balotelli tambah klausa tingkah laku

Kontrak Balotelli tambah klausa tingkah laku

MILAN, 26 Ogos (Reuters) – Kontrak penyerang kontroversi, Mario Balotelli bersama AC Milan ditambah dengan klausa tingkah laku baik yang menghalangnya daripada menggayakan potongan rambut dan pemakaian yang pelik.

Selain itu, dia juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Akhbar sukan harian Itali, Gazzetta dello Sport berkata Ketua Pegawai Eksekutif Milan, Adriano Galliani menggunakan klausa peraturan yang dikenakan kepada sesiapa yang berkhidmat dengan tentera udara Itali.

Pemain berusia 25 tahun itu sentiasa berdepan kritikan atas persembahan buruknya dan kembali ke Milan selepas setahun beraksi di bawah tahap sebenar bersama kelab Inggeris, Liverpool.

Pemain kebangsaan Itali itu menjalani ujian perubatan di Milan, semalam dan dijangka akan kembali secara pinjaman sekalipun perjanjian itu masih belum disahkan.

Menurut Gazzetta, Balotelli tidak boleh merosakkan imej kelab itu menerusi sebarang paparan di laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram dengan kesemuanya akan diperhatikan.

Kontrak Balotelli bersama AC Milan ditambah dengan klausa tingkah laku. – Reuters
Kontrak Balotelli bersama AC Milan ditambah dengan klausa tingkah laku. – Reuters

Dia juga dilarang menggayakan potongan rambut dan pemakaian yang pelik, merokok, pergi ke kelab malam dan perlu tiba di latihan pasukan tepat pada masanya. Tabiat minum minuman keras juga dihadkan.

Balotelli beraksi cemerlang pada musim pertamanya bersama Milan dengan rekod jaringan yang boleh dibanggakan sekalipun melakukan beberapa kesalahan.

Dia pernah hilang sabar di depan kamera selepas prestasinya dikritik televisyen Itali dengan memberitahu pengkritiknya mereka tidak memahami bola sepak dan mencampak mikrofon yang dipegangnya.

Selain itu, dia juga dikenakan tindakan kerana menunjukkan kelakuan tidak senonoh kepada penyokong kelab Cagliari selain digantung tiga perlawanan kerana merokok.

ARTIKEL YANG SAMA