Kontrak Hendrawan ditentukan 15 Sept ini

Kontrak Hendrawan ditentukan 15 Sept ini

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Jurulatih perseorangan Malaysia, Hendrawan akan mengetahui kedudukannya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pertengan bulan depan.

Kontrak juara dunia 2001 itu yang akan tamat pada Disember ini adalah antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat kejurulatihan dan latihan (C&T) BAM pada 15 September ini.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata badan induk tersebut perlu mendapatkan maklum balas daripada pemain mengenai prestasi jurulatih kelahiran Malang, Indonesia itu yang memulakan tugasnya bersama skuad negara pada 1 Julai 2009, sebelum membuat keputusan muktamad.

“BAM akan lihat perkara ini kerana kebanyakan kontrak jurulatih kita berakhir pada Disember dan penilaian ini adalah berdasarkan prestasi dan komen pemain sendiri.

“Kami dapat tahu mengenai isu Hendrawan daripada media semalam dan kita akan tanya Hendrawan juga sebelum membuat perincian mengenai jurulatih dan pemain di bawah naungan kita,” katanya.

Gambar fail bertarikh 19 Ogos 2016 menunjukkan Datuk Lee Chong Wei meraikan kejayaan menewaskan pemain China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir di Riocentro Pavilion 4 Temasya Sukan Olimpik Rio 2016. Turut bergembira jurulatihnya Hendrawan (dua, kanan) dan Tey Seu Bock (dua, kiri). – Bernama
Gambar fail bertarikh 19 Ogos 2016 menunjukkan Datuk Lee Chong Wei meraikan kejayaan menewaskan pemain China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir di Riocentro Pavilion 4 Temasya Sukan Olimpik Rio 2016. Turut bergembira jurulatihnya Hendrawan (dua, kanan) dan Tey Seu Bock (dua, kiri). – Bernama

Mohamad Norza yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Eksekutif MOM kali ke-179 di Wisma OCM, kelmarin.

Jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, semalam berharap BAM dapat menyambung khidmat Hendrawan yang membuktikan keupayaan setelah membantunya kembali menerajui rangking nombor satu dunia dalam masa singkat selepas digantung lapan bulan akibat kes doping.

Mohamad Norza menjelaskan mesyuarat C&T yang akan dipengerusikannya nanti akan turut membuat rumusan pasca Olimpik bagi memastikan prestasi cemerlang ditampilkan skuad Malaysia pada Sukan Olimpik Rio baru-baru ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen bagi merangka pelan jangka pertengahan dan panjang untuk memastikan momentum di Rio dapat diteruskan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA