Kontraktor didakwa pecah amanah

Kontraktor didakwa pecah amanah

KENINGAU, 23 Sept – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah yang melibatkan wang berjumlah RM5.73 juta.

Seorang ahli perniagaan, Chai Nyuk Kong, 59 dan anak lelakinya Chai Ven Pin, 31, masing-masing turut menghadapi dua pertuduhan di mahkamah yang sama atas dakwaan bersubahat dengan kontraktor itu, Ahmad Jasad Salali, 54 dalam melakukan kesalahan berkenaan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Ahli perniagaan Chai Nyuk Kong, 59, dan anaknya Chai Ven Pin, 31, (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen kelmarin. Mereka didakwa bersubahat dengan seorang kontraktor Ahmad Jasad Salali, 54, yang berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM5.73 juta. – Bernama
Ahli perniagaan Chai Nyuk Kong, 59, dan anaknya Chai Ven Pin, 31, (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen kelmarin. Mereka didakwa bersubahat dengan seorang kontraktor Ahmad Jasad Salali, 54, yang berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM5.73 juta. – Bernama

Ahmad Jasad didakwa melanggar perjanjian sub-kontrak pada 31 Okt 2009 sehingga Julai 2010 dengan memasukkan RM5,139,856.77 yang merupakan wang pembayaran untuk projek pembinaan jalan raya Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Km38, Nabawan, ke dalam akaun peribadinya di CIMB Islamic Bank, Keningau yang mana wang itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank, syarikat Ahmad JS Construction Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, pada 30 Sept 2011 Ahmad Jasad sekali lagi didakwa melanggar perjanjian sub-kontrak dengan memasukkan RM589,387.20 wang pembayaran untuk projek yang sama ke dalam akaun miliknya di bank yang sama, yang mana wang tersebut sepatutnya dimasukkan ke nombor akaun CIMB Islamic Bank kepunyaan syarikat Ahmad JS Construction Sdn Bhd. – Bernama