Kontraktor kecil perlu diberi peluang

Kontraktor kecil perlu diberi peluang

KUCHING, 3 Feb – Jabatan Kerja Raya digesa memperkenalkan pakej yang membolehkan kontraktor kecil turut terlibat dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais berkata perkara itu boleh dilaksana jika kerajaan benar-benar serius mahu membantu kontraktor kecil.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan membentuk pakej untuk kerja-kerja tertentu dalam pembinaan lebuh raya tersebut khusus bagi kontraktor kecil.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Seminar Kesan Ekonomi dan Peluang dalam Pembinaan serta Industri Berkaitan di Sarawak, di sini hari ini.

Mohd Naroden berkata sekalipun ekonomi lembab, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan dana tambahan sebanyak RM6 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana, sekali gus merangsang keyakinan pemaju dan kontraktor bahawa masih ada peruntukan mencukupi untuk kerja-kerja pembinaan diteruskan.

Kontraktor kecil perlu diberikan peluang untuk turut serta menjayakan projek lebuh raya Pan Borneo.
Kontraktor kecil perlu diberikan peluang untuk turut serta menjayakan projek lebuh raya Pan Borneo.

Katanya Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Jabatan Perancang Negeri menerima banyak permohonan untuk projek, sama ada untuk tanah persendirian mahupun kerajaan negeri, menunjukkan pemilik tanah, pemaju hartanah dan perunding yakin dapat meneruskan projek mereka di sebalik kelembapan ekonomi.

“Yang saya bimbang ialah kenaikan harga bahan-bahan binaan, rumah dan rumah kedai di negeri ini,” katanya, menambah ada keperluan untuk semua sektor bekerjasama bagi menangani kenaikan harga itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan yang turut hadir, berkata setakat ini tidak ada kontrak dalam projek Lebuh raya Pan Borneo yang dianugerah kepada kontraktor bumiputera di negeri tersebut.

Katanya Perdana Menteri telah berjanji30 peratus daripada kontrak dalam projek Pan Borneo akan diberi kepada kontraktor bumiputera Sarawak. – Bernama