Kontroversi Solo tak jejas semangat AS

Kontroversi Solo tak jejas semangat AS

VANCOUVER, Kanada, 21 Jun (Reuters) – Tumpuan Amerika Syarikat dalam kempen Piala Dunia Wanita di Kanada tidak terjejas biarpun pasukan itu dibayangi kontroversi melibatkan penjaga gol Hope Solo yang sedang disiasat atas pelbagai dakwaan berunsur keganasan.

Amerika Syarikat, yang memberi sokongan padu kepada penjaga gol mereka itu, berjaya melepasi ‘Kumpulan Maut’ tanpa sebarang kekalahan. Abby Wambach berada dalam prestasi terbaiknya untuk mengetuai jentera serangan, manakala Solo menunjukkan karakter yang hebat di benteng pertahanan.

Malah, menjelang pertemuan peringkat kalah mati menentang Colombia di Edmonton esok, Amerika Syarikat juga bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka yang dilabel sebagai antara yang paling lantang sepanjang kempen Piala Dunia.

Biarpun enggan melayani sebarang soalan mengenai siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya berhubung isu keganasan di negaranya, namun Solo tidak dapat mengelak daripada tetap menjadi tajuk utama media sepanjang kempen Piala Dunia.

Solo enggan menonjolkan diri dan menjauhi pihak media biarpun dia menunjukkan prestasi yang cemerlang, terutama dalam aksi pembukaan menentang Australia.

Hope Solo melontar bola semasa beraksi menentang Sweden dalam aksi Piala Dunia Wanita di Stadium Winnipeg, Kanada 12 Jun lalu. – Reuters
Hope Solo melontar bola semasa beraksi menentang Sweden dalam aksi Piala Dunia Wanita di Stadium Winnipeg, Kanada 12 Jun lalu. – Reuters

Walaupun Amerika Syarikat berjaya melangkah ke peringkat kalah mati atas bantuan Solo, namun perkembangan berkaitan pemain itu yang berdepan dakwaan melakukan keganasan terhadap kakak tiri serta anak buahnya terus menjadi perhatian.

Apabila pihak Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat (USSF) memberi pengecualian kepada Solo dan menggugurkan kes itu, ramai yang memikirkan perkara itu sudah ditutup.

Namun kini kehadiran Solo di Kanada berdepan ancaman lebih besar selepas ahli politik di Amerika Syarikat mempersoalkan bagaimana pemain tersebut dibenarkan mewakili negara ketika dia dengan jelas melakukan kesalahan jenayah.

Senator Richard Blumenthal minggu lalu mendesak Presiden USSF, Sunil Gulati menjalankan siasatan terhadap kes Solo dan mempertimbangkan semula penyertaannya dalam Piala Dunia.

“Keganasan domestik tidak boleh diterima, terutama atlet yang mewakili Amerika Syarikat dalam kejohanan antarabangsa,” kata Blumenthal menerusi satu surat terbuka.

Setakat ini, Solo dan rakan-rakannya tidak menunjukkan sebarang tanda mereka terjejas dengan isu tersebut.

Amerika Syarikat muncul juara Kumpulan D yang turut dibarisi Australia, Sweden dan Nigeria selepas menang dua kali dan seri sekali. Wambach, penjaring terbanyak mereka kelihatan berbahaya seperti biasa.

“Kami sudah mula menemukan rentak permainan. Kami mengharungi tiga perlawanan sukar di peringkat kumpulan, jadi kami lebih berkeyakinan apabila memasuki peringkat kalah mati.

“Kami sepatutnya mampu mengawal bola dengan lebih baik, mencipta lebih banyak peluang dan harap dapat meledak lebih banyak gol,” kata pemain tengah mereka, Carli Lloyd.